KUALA PILAH - Ibu bapa kepada seorang remaja berusia 13 tahun tidak menyangka anaknya berjaya melanjutkan pelajaran di Pusat Permata Pintar Negara (Permata Pintar) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selepas menduduki tiga ujian ditetapkan walau berdepan dengan kekangan akibat pandemik Covid-19.
Remaja berkenaan Nurul Abira Irwan merupakan anak ketiga daripada empat beradik dijangka melapor diri pada 28 Mac ini.
Menurut ibunya, Fuzian Nasar, 41, pada awalnya tidak mengetahui kelebihan Permata Pintar dan hanya menurut arahan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Melintang supaya mengambil ujian kemasukan ke pusat itu.
"Kejayaan Abira menjadi satu-satunya murid yang berjaya ke kolej itu adalah kebanggaan saya dan suami, Irwan Jamai, 41. Saya bersyukur kerana dia terpilih walaupun hanya membesar sebagai anak kampung.
"Dia juga boleh menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada umur 16 tahun sekiranya memenuhi kriteria yang ditetapkan selain berpotensi untuk melanjutkan pengajian ke luar negara," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Bukit Seberang, Senaling, pada Khamis.
Dalam pada itu, Fuzian berkata, anaknya juga menerima tawaran untuk menyambung pelajaran di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Klawang, namun memilih untuk meneruskan pelajaran di pusat itu.
"Pada dasarnya sukar juga untuk memilih kerana kedua-dua institusi pendidikan ini merupakan yang terbaik dalam pelbagai segi.
"Saya berharap Abira akan terus mencipta kejayaan di Permata Pintar dan untuk kemasukan ke pusat itu, Abira menerima sumbangan daripada pelbagai pihak seperti Bank Rakyat dan sekolahnya sendiri," katanya.
Tambahnya, Nurul Abira juga layak memohon bantuan daripada Yayasan Pintar dan bantuan zakat UKM bagi golongan B40 apabila sudah masuk ke Permata Pintar.
Sementara itu, Nurul Abira melahirkan rasa gembira apabila berjaya melanjutkan pelajaran di pusat tersebut.
"Saya akan berusaha bersungguh-sungguh dan membuktikan kepada ibu bapa bahawa anak luar bandar juga mampu berjaya malah menjadi contoh kepada orang lain," katanya.