JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menawarkan enam perkara jika menang Pilihan Raya Negeri (RPN) Johor dan mampu membentuk kerajaan negeri menerusi 42 kerusi yang ditandingi mereka.
Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, perkara pertama pihaknya akan menawarkan 20 peratus daripada gaji Menteri Besar Johor dimasukkan ke tabung kebajikan dan pendidikan rakyat Johor.
"Gaji Wakil Rakyat dan Exco dibayar oleh rakyat semasa rakyat pada hari ini susah. Maka wajar gaji Menteri Besar dan Exco-Exco dipotong sehingga ekonomi negeri dan rakyat pulih.
"Kedua, kereta rasmi kerajaan tidak boleh digunakan untuk kerja politik dan peribadi contohnya dibawa ke pasar, jumpa kawan-kawan, sanak saudara, kenduri kahwin, solat di masjid dan surau dan program keraian peribadi.
"Ia hanya dikhususkan untuk tugasan rasmi kerajaan saja," katanya dalam sidang akhbar di Grand Paragon Hotel di sini pada Khamis.
Katanya, perkara ketiga, Menteri Besar Johor akan memegang portfolio pengurusan pertanian dan luar bandar yang lebih sinonim dengan kebajikan rakyat berpendapatan rendah.
Selain itu katanya, portfolio tanah dan galian dan portfolio kewangan yang secara tradisi dipegang Menteri Besar Johor akan diamanahkan kepada Exco lain bagi menjamin semak imbang yang lebih baik.
Perkara keempat katanya, Pejuang akan melaksanakan dasar Menteri Besar Johor berjumpa rakyat atau datang kepada rakyat.
"Pejabat bergerak Menteri Besar akan berjalan ke pelbagai pelusuk negeri bertemu rakyat di daerah-daerah. Tidak perlu rakyat ke Kota Iskandar (pusat pentadbiran kerajaan negeri) semata-mata untuk ke pejabat Menteri Besar," katanya.
Agensi kerajaan katanya, akan digerakkan untuk bersama-sama pergi bertemu rakyat seperti balai polis bergerak, perkhidmatan kesihatan selain pejabat Menteri Besar Johor bergerak.
Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, perkara kelima adalah memberi fokus memodenkan pertanian menggunakan alat-alat dan teknologi moden dan automasi kerana rakyat Johor masih ramai dalam sektor pertanian.
"Inovasi baharu dalam pertanian dalam bangunan, 'smart building', dron, pertanian bersepadu, lestari, dan agro ekologi akan dipergiatkan khususnya untuk menarik anak muda dalam pertanian skala kecil atau berimpak tinggi.
"Kenam pula menggalakkan pembangunan melalui instrumen Pelaburan Domestik (DDI) dengan insentif dan pengecualian yang sewajarnya bagi memfasilitasi pemacuan ekonomi negeri terutama dalam industri-industri dan ekonomi. Ini dibuat dengan penglibatan lebih banyak pekerja dan PMKS (SME) tempatan," katanya.
Beliau berkata, Pejuang menyertai PRN Johor semata-mata untuk menyelamatkan rakyat daripada pemimpin yang menyalahgunakan demokrasi demi kepentingan sendiri, mendapatkan kedudukan untuk merebut kekayaan dan mendapatkan kuasa bagi menyelamatkan diri daripada tindakan mahkamah, meneruskan amalan rasuah dan kleptokrasi.
"Pejuang mengharapkan rakyat Johor akan bijak menolak pemimpin yang korup, yang mengejar kuasa dan pihak yang sanggup bersekongkol dengan mereka," ujar bekas Menteri Besar Kedah itu.