KUALA LUMPUR - Lapan ahli Dewan Negara yang baru dilantik dijadual mengangkat sumpah pada hari pertama persidangan Dewan Negara, 21 Mac ini.
Mereka ialah Senator Datuk Dr Azhar Ahmad, Senator Datuk Arman Azha Abu Hanifah, Senator Datuk Dr R. Nelson, Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, Senator Puan Noraini Idris, Senator Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar, Senator Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Senator Datuk Seri Zurainah Musa.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dalam kenyataan berkata, perkara itu antara yang diputuskan dalam Mesyuarat Pra-Persidangan Penggal Kelima, Parlimen Ke-14 Dewan Negara yang dipengerusikan beliau pada Khamis.
Beliau berkata, sebanyak 783 pertanyaan melibatkan 670 pertanyaan lisan dan 113 pertanyaan bertulis telah diterima bagi persidangan tersebut yang dijadual berlangsung hingga 31 Mac ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, tiga Jawatankuasa Pilihan Khas yang telah ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat, Jawatankuasa Pilihan Khas Sosiobudaya, Komunikasi dan Pendidikan serta Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah turut akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat.
Beliau menyeru agar setiap pengerusi mengoperasikan jawatankuasa masing-masing, memahami landasan kerja dan perlu membuka pintu kepada rakyat untuk mengajukan sebarang pertanyaan.
"Jawatankuasa ini juga boleh memanggil sesiapa sahaja untuk memberikan penjelasan terhadap sebarang aduan mengikut Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952," katanya. - Bernama