ESOK rakyat Johor yang layak mengundi bakal memilih 56 Yang Berhormat bagi mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing kali ini.
Seramai 239 calon daripada 11 parti politik termasuk calon bebas layak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022.
Begitulah meriahnya PRN Johor kali ini dengan menyaksikan dua kerusi DUN membabitkan pertembungan tujuh penjuru iaitu Kempas dan Tiram.
Sejak hampir dua minggu lalu, kesemua calon dan parti yang bertanding sibuk berkempen dengan pelbagai cara.
Pendekatan turun padang bersemuka, melalui hantaran di media sosial dan juga kempen di media elektronik sememangnya merancakkan lagi suasana PRN Johor.
Bila sebut bab berkempen, maka timbullah pelbagai janji-janji dan harapan diberikan oleh calon-calon bagi meraih undi rakyat.
Perkataan janji dalam definisi Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka membawa maksud pernyataan kesediaan untuk berbuat atau memberi sesuatu: engkau mesti menepati.
Namun sudah lumrah janji-janji pilihan raya, ada yang ditepati dan tak kurang juga yang diingkari.
Pelbagai janji-janji manis ditabur kepada para pengundi dengan hajat mahu memancing undi mereka.
Jika pada era 80-an dan 90-an, parti politik begitu suka bermain retorik dengan manifesto pilihan raya mereka dan rakyat tidak kisah.
Tapi hari ini, keadaannya sudah berubah. Rakyat mahupun pengundi semakin bijak memilih dan mereka akan menghukum mana-mana pihak yang terlalu banyak memungkiri janji pilihan raya mereka.
PH pernah merasa ‘hukuman’ daripada rakyat selepas mereka ambil mudah segala janji-janji yang ditabur selepas menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Mereka dihukum pada lima PRK dan dua PRN (Melaka dan Sarawak) dek kerana terlalu banyak memungkiri manifesto PRU14.
Jadi, kepada calon dan parti yang bertanding, ambillah iktibar daripada track record PH itu.
Jangan nanti janji-janji hanya tinggal janji dan anda pastinya akan dihukum suatu hari nanti.