Malaysia buat keputusan tepat dalam tuntutan waris Sultan Sulu

Iklan
Laporan Sinar Harian

SHAH ALAM - Keputusan Kerajaan Malaysia tidak melayan tuntutan dan arahan untuk membayar pampasan bernilai RM62.59 bilion (AS$14.92 bilion) kepada waris Sultan Sulu adalah langkah tepat.

Terbaharu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Parlimen dan Undang-undang) menegaskan lantikan penimbang tara yang dilantik, Dr Gonzalo Stampa telah dibatalkan dan tidak lagi sah dari segi undang-undang.

Iklan
Iklan

Menurut beliau pada 29 Jun 2021, atas permohonan kerajaan, Mahkamah Madrid membatalkan pelantikan Dr Stampa sebagai penimbang tara dan kesemua tindakan dan keputusan yang dibuat oleh Dr Stampa adalah terbatal.

"Mahkamah Madrid pada 13 Oktober 2021 memutuskan bahawa Partial Award on Jurisdiction yang dikeluarkan oleh Dr Stampa bertarikh 25 Mei 2021 adalah terbatal (null and void),” katanya pada persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

Iklan

Sementara itu Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata tuntutan itu sebagai 'sesuatu yang tidak masuk akal',

Beliau menegaskan bahawa Sabah adalah sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia.

Iklan

Laman Web Sepanyol La Información sebelum ini melaporkan bahawa penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan kepada waris Sultan Sulu itu.

Stampa dipetik sebagai berkata, dengan tidak membayar wang pemisahan sejak 2013, Malaysia telah melanggar perjanjian 1878 yang ditandatangani oleh Sultan Jamal Al Alam, Baron de Overbeck dan Alfred Dent milik syarikat British Utara Borneo.

Justeru katanya, Malaysia kini mempunyai tiga bulan untuk membayar pampasan tersebut atau berisiko membayar faedah, melainkan anugerah tersebut dibatalkan.

Dalam pada itu Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Peguam Negara turut memaklumkan penimbang tara tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikan perkara yang dibangkitkan dan Mahkamah Tinggi Sabah merupakan forum yang neutral dan teratur untuk memutuskan apa-apa tuntutan berkenaan dengan Perjanjian 1878 tersebut.

"Malaysia telah memfailkan permohonan untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan keputusan Mahkamah Tinggi Sabah tersebut di Mahkamah Tinggi Madrid di Sepanyol. Bagaimanapun, permohonan tersebut belum didengar,” kata kenyataan itu.