Rezeki tepung bungkus 40 sen

Iklan
Tepung bungkus yang dihasilkan oleh Hasliza Salleh, 46, di Kampung Siput, Meranti, Pasir Mas.

PASIR MAS - Seorang wanita tidak menyangka kuih tepung bungkus yang dihasilkan sekadar untuk mengisi masa terluang bertukar menjadi sumber pendapatan keluarga.

Hasliza Salleh,46, dari Kampung Siput, Meranti berkata, dia menghasilkan sehingga 800 biji tepung bungkus setiap hari untuk dijual.

Iklan
Iklan

Katanya, kuih tradisional berasaskan tepung beras berintikan kelapa parut itu adalah resipi daripada arwah ibunya, Bidah Awang.

"Semasa kecil selalu tengok arwah ibu buat kuih tepung bungkus dan sudah mahir menghasilkan kuih itu sendiri seawal usia 15 tahun.

Ibu tujuh anak, Hasliza Salleh, 46, menunjukkan tepung bungkus yang dihasilkannya dan dijual dengan harga 40 sen sebiji.

Iklan

"Anak-anak dah besar jadi saya buat tepung bungkus untuk isi masa lapang, tetapi tak sangka pula mendapat tempahan sekali gus menjadi sumber pendapatan kepada keluarga kami melalui jualan sebiji tepung bungkus berharga 40 sen,” katanya yang mempunyai tujuh anak ketika ditemui di rumahnya pada Khamis.

Ujarnya, cara membuat tepung bungkus memerlukan kelapa parut, gula melaka dan gula sebagai inti manakala bancuhan tepung beras pula akan dikukus selama sejam.

Iklan

"Inti yang digentel dibalut dengan tepung pulut sebelum dimasukkan ke dalam bancuhan tepung beras dan dikukus dengan menggunakan periuk kukus selama sejam.

"Tidak ada pantang larang khusus sebalinya hanya menggunakan santan yang dihasilkan sendiri daripada kelapa bagi memastikan kuih bertahan dan tidak basi sehingga sehari,” katanya.

Menurutnya, perniagaan menjual kuih tradisi itu bermula 11 tahun lalu dan dilakukan sendiri tanpa menggunakan sebarang mesin.

Kuih tradisional, tepung bungkus berintitkan kepala parut manis perlu dikukus selama sejam.

"Saya akan bangun seawal jam 3 pagi untuk mengukus tepung bungkus dan kadang-kala dibantu anak-anak serta suami yang hanya bekerja kampung.

"Kuih ini dihantar ke lebih 10 kedai-kedai makan di sekitar Meranti selain menerima tempahan daripada penduduk sekitar yang memberikan pendapatan lebih RM1,000 sebulan kepada keluarga kami,” katanya.