Jalan utama ke Dungun terputus akibat banjir

Iklan
Jalan utama penduduk di enam buah kampung ke bandar Dungun di Kilometer 26, Jalan Tepus-Pasir Raja ditutup kepada semua kenderaan berikutan laluan berkenaan mendap dan hampir runtuh akibat banjir. - Astro Awani

DUNGUN - Jalan utama penduduk di enam buah kampung ke bandar Dungun di Kilometer 26, Jalan Tepus-Pasir Raja ditutup kepada semua kenderaan berikutan laluan berkenaan mendap dan hampir runtuh akibat banjir.

Ia membabitkan Kampung Pasir Raja, Syukur, Jongok Batu, Kuala Jengai, Rantau Panjang, Minda dan Kampung Talong di Hulu Dungun.

Iklan
Iklan

Keadaan itu menyebabkan penduduk terpaksa menggunakan laluan alternatif untuk ke kampung berhampiran yang mengambil masa kira kira-kira 45 minit berbanding 15 minit sebelum ini.

Menurut penduduk, kejadian yang sama pernah berlaku pada 2016 dan siap dibaik pulih pada Oktober tahun lalu, namun kerosakan kali ini lebih teruk berikutan banjir luar biasa baru-baru ini.

Iklan

"Jadi masalah yang utama sekali nak buka sekolah ni, 19 haribulan ini.

"Sekolah yang paling dekat adalah Sekolah Kuala Jengai, jadi bermasalah pada kami, terpaksa kena melencong jauh, ikut bandar Al-Mukhtafi Bilah Shah, Bukit Besi, Besol, baru masuk ke Kuala Jengal, lebih kurang anggaran 70 kilometer," kata Pengerusi JPKK Kampung Jongok Batu, Armi Seman.

Iklan

Bagi petani, Nor Zafawi Husin, 'culvert' yang dibina tidak sesuai memandangkan kejadian banjir berulang kali berlaku.

"Culvert ini memang tidak sesuai, sebab dulu pun habis banjir, beberapa bulan kemudian, jadi balik.

"Ini bermakna kita perlukan cadangan lain, mungkin membina sebuah jambatan, kerana perkara ini akan sentiasa berulang," katanya.

Menurut petani Fizarudin Rahman, sungai di kawasan itu walaupun kecil, akan melimpah ketika hujan lebat berterusan berlaku.

"Sungai ini kita nampak kecil, kadang-kala memang tiada air, tapi apabila hujan lebat, air di sungai ini akan menjadi terlalu laju.

"Apabila paras air melebihi paras 'culvert', ia akan melimpah menyebabkan banjir," katanya.

Sementara itu Penyelaras DUN Kawasan Bukit Besi, Ghazali Sulaiman ketika dihubungi berkata, masalah itu akan diajukan kepada pihak berkaitan bagi mencari jalan penyelesaian.

Menurut Ghazali, pihaknya juga akan mencadangkan pembinaan jambatan di lokasi terbabit bagi menyalurkan arus deras dari kawasan hulu serta bukit berhampiran ketika hujan lebat. - Awani