Liga Europa: Nasib berbeza Barcelona, Sevilla, Rangers

Iklan
Antara aksi menarik perlawanan Barcelona menentang Galatasaray di Camp Nou.

GERGASI La Liga, Barcelona berdepan misi getir menjelang aksi timbal balik kedua pusingan 16 terbaik Liga Europa selepas terikat tanpa jaringan menentang Galatasaray di Camp Nou.

Anak buah Xavier Hernández yang tampil dengan misi memburu bekalan selesa ternyata menguasai permainan apabila berjaya melakukan 14 percubaan gol berbanding hanya tiga daripada kelab Turki itu, namun ketumpulan penyudah sering menjadi halangan.

Iklan
Iklan

Begitupun, Galatasaray juga beberapa kali mengancam tuan rumah menerusi kelicikan pemain sayap, Kerem Akturkoglu yang sentiasa melakukan percubaan menguji pertahanan Barca.

Sementara itu, penyandang juara Sevilla, dipaksa bergelut sebelum melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas West Ham United di Ramón Sánchez Pizjuán hasil jaringan Munir El Haddadi pada separuh masa kedua.

Iklan

Jaringan menakjubkan minit ke-60 bekas pemain sayap Barcelona susulan daripada sepakan percuma itu meletakkan Sevilla selangkah ke pusingan lapan terakhir dalam pertandingan yang dimenangi sebanyak enam kali sebelum ini.

Dalam pada itu, gergasi Scotland, Rangers pula mengekalkan momentum cemerlang dalam kejuaraan tahap dua kelab Eropah tersebut apabila melakar kemenangan bergaya 3-0 ke atas Red Star Belgrade di Stadium Ibrox.

Iklan

Kejayaan Rangers menyingkirkan Borussia Dortmund sebelum ini diterjemahkan menerusi tiga gol daripada penalti minit ke-11, James Tavernier, Alfredo Morelos (15) dan Leon Balogun (51) untuk bekalan selesa ke Istanbul.

Di Bergamo pula, Atalanta bangkit untuk menewaskan Bayer Leverkusen, 3-2 dalam perlawanan sengit di Atleti Azzurri d'Italia.

Charles Aranguiz menjaringkan gol pembukaan awal untuk kelab Bundesliga itu pada minit ke-11, sebelum Ruslan Malinovsky menyamakan kedudukan pada minit ke-23.

Malinovsky kemudian menjadi perancang kepada dua gol tuan rumah apabila memberikan bantuan jaringan untuk Luis Muriel pada minit 25 dan 49, sebelum Moussa Diaby merapatkan kedudukan dengan gol minit ke-63.

Braga pula menewaskan AS Monaco 2-0 hasil jaringan Abel Ruiz dan Vitor Oliveira dalam perlawanan di Stadium Braga Municipal.