JOHOR BAHRU - Hasil sungai dan laut sering dikaitkan dengan peniaga meletakkan harga yang mahal berikutan kesukaran untuk mendapatkannya apatah lagi jika penjualannya di kawasan bandar dan menjadi tumpuan pelancong.
Bagaimanapun ia berbeza di Pasar Pagi Orang Asli Bakar Batu yang terletak di Permas Jaya di sini, dengan peniaganya terdiri dalam kalangan masyarakat Orang Asli yang menawarkan harga jauh lebih murah dan tidak masuk akal.
Keadaan itu menyebabkan pencinta hasil sungai dan laut sanggup datang dari jauh ke pasar berkenaan, meskipun waktu pengoperasiannya hanya selama dua jam bermula 8 pagi hingga 10 pagi kerana terdapat penawaran harga serendah RM4 sekilogram.
Seorang peniaga, S Kristina, 36, berkata, seawal jam 6.30 pagi dia turun ke sungai atau laut bagi mencari sebanyak mungkin hasil untuk dijual di pasar berkenaan kerana dia lebih gemar menyajikan hasil segar kepada pembeli, malah tidak sedikit ada rasa ralat meletakkan harga jauh lebih murah.
"Sudah lima tahun saya menjadi nelayan dan ini merupakan pekerjaan utama saya bagi menyara keluarga. Dapat sahaja hasil tangkapan, saya akan terus ke sini untuk berniaga. Kebanyakan pembeli menyatakan harga yang ditawarkan tidak masuk akal.
"Saya tidak kisah meletakkan harga yang murah, asalkan ada pengunjung mahu membelinya. Paling penting rasa kepuasan dan sangat bersyukur apabila melihat orang ramai membeli hasil sungai dan laut yang kami jual,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.Kristina yang merupakan Orang Asli Seletar berkata, pendapatannya menerusi hasil jualan di pasar tersebut sebelum ini pernah mencecah sehingga RM300 sehari, namun keadaan itu berubah tatkala negara berdepan dengan penularan Covid-19.
"Apabila Covid-19 melanda, pengunjung semakin lama semakin kurang sehinggakan nak dapatkan RM200 sehari pun susah dan ada kalanya hanya dapat RM30 sahaja, syukur sekarang keadaan sudah kembali seperti sediakala,” kata ibu kepada empat orang anak itu.
Tinjauan Bernama mendapati pelbagai hasil sungai dan laut segar didaratkan setiap hari seperti kupang, udang, tiram, ikan banang susu, ikan belukang, ketam, ikan kitang, ikan daun baru dan bermacam lagi hidupan marin lain terdapat di Tapak Khas Jualan Hasil Laut Orang Asli itu.
Seorang lagi peniaga, Atan Mamut, 41, yang tinggal di Kampung Teluk Jawa berkata, dia diajar dan dibawa ibu bapanya untuk mengutip hasil laut dan sungai sejak dari kecil lagi bagi membolehkan beliau mahir menjadi nelayan.
"Ilmu nelayan ini diturunkan kepada saya dan saya tidak sangka, ramai juga yang minat dengan hasil tangkapan kami," katanya.Sementara itu, seorang pengunjung Sapiah Sukarino, 65, berkata, dia sanggup memandu sejauh 12 kilometer dari Larkin untuk ke pasar berkenaan bagi mendapatkan hasil sungai dan laut segar, yang menawarkan harga murah berbanding pasar biasa.
"Saya sekurang-kurangnya akan berkunjung sebanyak dua kali seminggu ke pasar ini untuk membeli keperluan dapur khususnya barangan basah. Sebelum ini pasar tersebut terletak di Stulang Laut dan kemudian berpindah ke sini.
"Pasar ini menawarkan stok baru dan segar selain harga pun boleh tahan kalau dibandingkan dengan harga di pasar lain. Saya sangat berpuas hati,” katanya sambil menambah peniaga dalam kalangan Orang Asli di pasar itu sangat mesra dengan pengunjung yang hadir.
Senada dengan Sapiah, Othman Saib, 58, yang menetap di Gelang Patah berkata pasar tersebut mudah dicari dan harga yang ditawarkan sangat berpatutan dan sanggup berulang dua kali sebulan bagi mendapatkan hasil laut yang segar.
Pasar pagi itu berada di Tapak Khas Jualan Hasil Laut Orang Asli berdekatan Sungai Tebrau di sini, yang dipindahkan dari Stulang Laut sejak 2018.
Orang Seletar atau Sea Gypsies merupakan kumpulan pengembara persisiran pantai dan laut yang tinggal dalam perahu, di pulau, persisiran pantai dan kuala sungai.
Kawasan utama petempatan mereka ialah di persisiran pantai Selat Johor dan utara Singapura. - Bernama