Pemilik premis jangan gelap mata terima tawaran sewaan tinggi

Iklan
Anggota polis bersama kakitangan TNB ketika menjalankan kerja-kerja pemotongan bekalan elektrik di premis judi dalam talian di Setapak Jaya dalam operasi baru-baru ini. (Gambar kecil: Mohamad Noor Yusof)

KUALA LUMPUR - Pemilik premis diingatkan agar tidak terpedaya dengan tawaran kadar bayaran sewaan yang tinggi oleh individu tidak dikenali bagi mengelak premis mereka dijadikan pusat kegiatan judi dalam talian.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, ia adalah antara taktik digunakan sindiket judi dalam talian yang bijak memanipulasi keadaan dengan menawarkan bayaran sewaan tinggi kepada pemilik premis.

Iklan
Iklan

"Banyak situasi yang berlaku, pemilik premis terpedaya dengan tawaran kadar bayaran sewa oleh sindiket ini, walhal mereka tidak tahu premis milik mereka dijadikan tempat untuk menjalankan kegiatan judi dalam talian.

"Ada dalam kalangan pemilik premis yang diberikan bayaran sewa secara penuh dengan harga yang tinggi bagi tempoh enam bulan sekali gus menjadikan pemilik premis kelabu mata dan tidak menyiasat terlebih dahulu tujuan premis milik mereka disewa," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Beliau berlata, tindakan tegas akan diambil kepada pemilik premis sekiranya premis milik mereka didapati dijadikan pusat kegiatan judi dalam talian.

"Jangan bersikap lepas tangan, semak dulu berkali-kali dengan siapa yang kita sedang berurusan, kena tahu tujuan sebenar premis kita disewakan.

Iklan

"Tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik premis sekiranya didapati premis milik mereka menjalankan kegiatan judi dalam talian," katanya.

Mengulas mengenai operasi pemotongan bekalan elektrik di premis perjudian, Mohamad Noor Yusof berkata, pihaknya dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad(TNB) menjalankan operasi berkenaan secara besar-besaran di premis yang disyaki melakukan aktiviti itu.

Menurutnya, jumlah pemotongan elektrik seluruh kontinjen di premis perjudian menurut Seksyen 21 (A) Akta Rumah Judi Terbuka bagi 2021 sehingga Februari 2022 melibatkan 1,873 premis.

"Pecahannya melibatkan 1,737 premis bagi Januari 2021 sehingga Disember 2021 manakala 136 premis lagi bagi Januari 2022 sehingga Februari 2022 dan tindakan pemotongan dijalankan berdasarkan peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan.

"Pemotongan bekalan dijalankan bagi memastikan kegiatan perjudian ini dapat kita lumpuhkan sepenuhnya. Pemantauan juga akan dijalankan oleh pihak polis di premis-premis yang telah diambil tindakan bagi memastikan kegiatan perjudian dalam talian ini tidak beroperasi semula," jelasnya.

Justeru, beliau berharap semua pihak dapat memainkan peranan dalam memastikan kegiatan perjudian dalam talian ini dapat dibanteras.

"Kegiatan perjudian dalam talian ini banyak memberikan kesan sosial dalam kehidupan masyarakat, jadi dengan kerjasama semua pihak termasuk masyarakat ia pastinya dapat dibanteras.

"Salur dan lapor kepada polis sekiranya mempunyai maklumat tentang sebarang aktiviti perjudian dalam talian agar pihak polis dapat mengambil tindakan segera," katanya.