'Muak dah meminta, apa pun tak dapat'

Iklan
Mohd Noer Mahmud

MERSING -"Apa yang kami ada di Felda Endau ni? Jangan kata nak cerita pasar raya, deretan kedai yang dibina secara sempurna pun tak ada," demikian keluh Mohd Noer Mahmud, 67.

Beliau yang merupakan generasi kedua Felda Endau berkata, bukan sahaja kemudahan asas yang masih tidak cukup, malah jalan raya dari Endau ke bandar Mersing juga dalam keadaan teruk.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun menurutnya, apa yang lebih dikesalkan adalah janji untuk menyerahkan baki tanah Felda milik penuh peneroka Felda Endau sebanyak 4.05 hektar masing-masing masih tidak ditunaikan sejak 10 tahun lalu.

Katanya, lantaran terlalu kecewa dan muak dengan pelbagai alasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terdahulu yang seakan tidak ambil peduli dengan nasib masyarakat, maka tercetuslah gerakan menaikkan Ismail Don atau lebih dikenali sebagai Mail Lambong sebagai calon bebas di Endau.

Iklan

"Sebab terlalu muak dan sangat kecewa dengan tiga Yang Berhormat (YB) di daerah Endau sebelum ini, maka kami semua naikkan calon Bebas iaitu Mail Lambong.

"Jangan kata kami tidak menulis surat untuk semua permasalahan ini kepada ADUN, rasanya dah bersusun surat yang disampaikan, namun semuanya seribu janji," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Iklan

Sinar Harian difahamkan sebanyak 255 orang peneroka berada di Felda Endau.

Mohd Noer

Mohd Noer berkata, demi membuka mata pihak tertentu, dia sanggup mengeluarkan modal sebanyak RM200,000 bagi membina premis perniagaan di Felda Endau.

Katanya, dia membina sendiri deretan kedai sebanyak enam pintu tersebut dan membuka peluang kepada individu lain untuk menyewa serta berniaga.

"Saya nak tunjuk kepada semua, kita boleh lakukan jika ADUN sendiri pun tak mampu nak bantu kita di Felda Endau. Kami tak kisah.

"Malah saya juga tidak merasuah mana-mana pihak untuk membolehkan saya mendapatkan bekalan elektrik untuk deretan kedai di sini tetapi ingat, semuanya akan menerima habuan masing-masing pada hari pengundian nanti.

"Jangan harap kami hendak menyokong calon bekas ADUN yang tidak menjalankan tugas dan tidak berusaha membela nasib rakyat," katanya.