KUANTAN - Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan pada Jumaat atas pertuduhan mendorong memberi pinjaman tidak berlesen pada Selasa lalu.
Tertuduh, Teng Hao Yi, 26, Kee Choon Hong, 20, Chan Zi Xing 19 dan Lee Eng Chong, 54,mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu di hadapan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah.
Kesemua tertuduh didakwa secara bersama setelah didapati telah menyimpan tiga keping iklan gegantung pinjaman wang, sebuah mesin pencetak, dua komputer riba, dokumen peminjam, 15 telefon bimbit pelbagai jenama dan satu kotak kad perniagaan di dalam rumah yang mengelirukan dan tidak jujur dengan maksud membantu mendorong mana-mana orang untuk meminjam wang.
Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh mereka di sebuah rumah di Lorong Tok Sira, Taman Melor di sini pada jam 7 pagi, Selasa lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Aini Adilah Muhammad Faizal menawarkan jaminan sebanyak RM3,000 untuk setiap tertuduh dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam kesemua tertuduh, Lau Yih Ying merayu agar jaminan minimum diberikan kerana ahli keluarga anak guamnya baharu mengetahui sebutan kes itu pada Selasa.
"Ahli keluarga anak guam saya hanya mampu menyediakan wang sebanyak RM1,000 bagi setiap tertuduh," katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM1,500 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 24 Mac ini.