Klopp ingatkan pemain elak ulangi kesilapan

Iklan
Aksi Liverpool berdepan Brighton, 30 Oktober lalu.

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp mengingatkan skuad kendaliannya itu supaya tidak mengulangi kesilapan ketika berdepan Brighton di Stadium Falmer pada Sabtu sebagaimana yang dilakukan ketika menentang West Ham minggu lalu.

Menurut Klopp, biarpun mencatatkan kemenangan, namun The Reds dilihat banyak melakukan kesilapan sehingga mempersia-siakan deretan peluang yang terhidang untuk menambah jaringan.

Iklan
Iklan

"Bahkan, kita terpaksa bergelut di sepanjang perlawanan bagi mengekang asakan The Hammers sebelum mengesahkan kemenangan.

"Jadi kali ini, kita tidak mahu pemain mengulangi aksi seperti ketika menentang West Ham kerana biarpun menang, kita mengalami kesukaran apabila peluang-peluang yang diperolehi gagal diterjemahkan sebagai jaringan.

Iklan

"Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pasukan ini memerlukan sedikit ‘tuah’ sebelum menewaskan West Ham. Kita tidak mahu situasi seperti itu berulang kerana perlukan kemenangan untuk terus memberikan tekanan Manchester City,” katanya.

Pada aksi di Anfield 30 Oktober 2021 lalu, Liverpool sekadar terikat 2-2 dengan skuad kendalian Graham Potter itu biarpun mendahului kedudukan 2-0 pada satu ketika.

Iklan

Untuk rekod, Liverpool kini berada pada kedudukan kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 63 mata berbanding pendahulu, Manchester City yang meraih 69 mata manakala Brighton berada di kedudukan ke-13 dengan 33 mata setelah mengharungi 27 perlawanan setakat ini.

Sementara itu, Potter berkata, dia sememangnya sentiasa menantikan peluang untuk berdepan Liverpool.

Oleh itu, peluang berdepan dengan pasukan yang diiktiraf sebagai antara yang terbaik di Eropah itu pasti akan memberikan manfaat kepada skuad The Seagulls itu.

"Peluang berdepan dengan pasukan handalan seperti Liverpool sentiasa dinanti-nantikan kerana ia akan memberikan peluang untuk menguji skuad kendalian saya dan mengenal pasti pemain-pemain yang berkaliber,” katanya.