Tindakan tegas pengusaha pelancongan berulang langgar SOP: MOTAC

Iklan
MOTAC akan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat pengusaha pelancongan yang didapati berulang kali melanggar SOP ditetapkan. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Syarikat pengusaha pelancongan yang didapati berulang kali melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

MOTAC dalam kenyataan pada Jumaat mengingatkan syarikat pengusaha pelancongan supaya sentiasa mematuhi SOP agar Pelan Pemulihan Negara dapat dilaksanakan dengan lancar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, baru-baru ini dua notis pemeriksaan dan lima surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada syarikat-syarikat pengusaha pelancongan yang didapati melanggar SOP.

Surat dan notis itu dikeluarkan hasil pemantauan serta penguatkuasaan MOTAC di Pulau Langkawi mulai 21 hingga 23 Feb dan di pintu masuk antarabangsa (PMA) negara pada 25 Feb dan 8 Mac lepas.

Iklan

Kenyataan itu memaklumkan selaras dengan keputusan kerajaan untuk membuka sempadan negara dan Fasa Peralihan ke Endemik bermula 1 April ini, pasukan penguatkuasaan MOTAC telah memperkukuh kesiapsiagaan agar Keluarga Malaysia dan pengembara luar selesa menikmati pakej pelancongan dikendalikan pengusaha pelancongan berlesen.

Menurut MOTAC di bawah SOP Gelembung Pelancongan Antarabangsa Pulau Langkawi (LITB) yang dilaksanakan mulai 15 November 2021, antara penekanan SOP adalah syarikat pelancongan berlesen menyediakan perkhidmatan pemandu pelancong dengan maksimum 20 orang dalam kumpulan lawatan, bagi tujuan penyelarasan sepanjang itinerari lawatan.

Iklan

Sementara itu SOP Perjalanan Mengerjakan Aktiviti Umrah yang dikemas kini pada 17 Februari lepas pula menetapkan supaya syarikat pengendali umrah perlu melantik Person In Charge (PIC) bagi kumpulan yang mempunyai 40 jemaah dan ke atas, menurut kenyataan itu.

Menurutnya PIC bertujuan untuk mengawal dan mengelola jemaah sepanjang perjalanan, termasuk semasa di lapangan terbang atau di PMA Malaysia, dan bagi kumpulan yang kurang dari 40 jemaah, PIC perlu menguruskan jemaah di PMA. - Bernama