Peratusan pengundi atas pagar masih besar: Muhyiddin

Iklan
Muhyiddin

TANGKAK - [DIKEMAS KINI] Peratusan pengundi atas pagar di beberapa kawasan dilihat masih besar dan boleh mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, terdapat kemungkinan bahawa mereka telah memilih calon parti tertentu tetapi tidak memaklumkan pendirian mereka mengenai hal tersebut.

Iklan
Iklan

"Kita harap mereka (pengundi atas pagar) akan menyebelahi kita, itu yang saya harapkan akan berlaku.

"Yang penting di peringkat saya ini macam mana, saya tak boleh nak ramalkan kerana situasi yang masih agak dinamik dan berubah-rubah," katanya ketika ditemui pemberita selepas program ceramah umum di sini pada Jumaat.

Iklan

Sementara itu, ketika ditanya mengenai persiapan akhir jentera sebelum pengundian bermula, Muhyiddin berkata, pihaknya akan meneruskan asakan kempen di seluruh kawasan terutama di kawasan terpilih.

Menurutnya, masih banyak lagi perkara yang perlu dilakukan namun, sokongan orang ramai terhadap PN dilihat bertambah baik.

Iklan

"Seperti yang saya peringatkan tadi kepada jentera-jentera, mereka tidak boleh lalai terutama nak memastikan supaya mereka (pengundi) jangan salah faham yang saya masih dalam Barisan Nasional (BN), itu perkara yang pertama.

"Keduanya adalah untuk melihat supaya peratusan pengundi keluar itu mesti ramai," katanya.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) menyasarkan peningkatan peratusan pengundi yang turun mengundi sebanyak 70 atau 80 peratus di Johor.

"Kalau lihat di Melaka dulu 60 peratus, ia sangat rendah.

"Di Johor ini sepatutnya peratusan itu naik 70 peratus atau 80 peratus itu lebih baik," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pengundi muda supaya tidak mensia-siakan peluang yang ada untuk turun mengundi pada PRN Johor esok.

"Ini adalah situasi 'underdog' tetapi apa-apa pun kita sedar, ini adalah tawaran kita untuk rakyat Johor.

"Saya sudah jelaskan ikrar kita, komitmen kita dan saya sebagai anak bangsa Johor, saya mahu supaya rakyat Johor faham bahawa PN boleh menjamin masa depan mereka yang lebih baik," jelasnya.


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my