SHAH ALAM - Fasa peralihan monsun dijangka bermula pada 14 Mac ini dan berterusan sehingga pertengahan Mei depan, menandakan kemungkinan Malaysia akan mengalami banjir kilat dalam waktu itu.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, permulaan fasa itu menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut yang telah bermula sejak 3 November tahun lalu.
Menurutnya, semasa fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang amat sesuai untuk kejadian ribut petir.
"Lazimnya, ia akan membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat.
"Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri Pantai Barat, pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.
"Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dalam tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan serta amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui laman web rasmi, www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial jabatan.
Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan di talian 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut.