GDRN kini dikenali sebagai GLC Demi Rakyat dan Negara

Iklan
Ismail Sabri - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Rangkaian Tindak Balas Bencana Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) (GDRN) kini dikenali sebagai GLC Demi Rakyat dan Negara, dengan skop yang diperluaskan daripada Jalinan Kemanusiaan sedia ada kepada Jalinan Ilmu dan Jalinan Sejahtera.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, Jalinan Ilmu merangkumi biasiswa, peluang dan akses pendidikan serta pembangunan kemahiran insan.

Manakala, Jalinan Sejahtera pula katanya mengutamakan pembinaan kehidupan dari segi menjana pendapatan, membina kemahiran vokasional dan ilmu pengurusan kewangan, serta memastikan kesejahteraan kesihatan dan alam sekitar.

Iklan

"Dengan skop baharu korporat ini ini, GDRN akan menerajui usaha Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) secara lebih selaras dan teratur bagi mengoptimumkan sumber terkumpul GLC dan GLIC, sekali gus memanfaatkan lebih ramai B40 dan golongan tumpuan tertentu.

"Justeru, pewujudan GLC dan sumbangannya kepada ekonomi negara serta komuniti ibarat benih cengal yang dijadikan logo Hari Terbuka GLC dan simbol keutuhan ekosistem GLC dalam menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Malaysia.

Iklan

"Bagi tempoh jangka masa panjang, dapatlah kita menikmati manfaat benih ini yang bukan hanya menjadi sebatang pokok, tetapi juga sebuah hutan, yang boleh diumpamakan sebagai sebuah ekonomi yang 'Makmur, Inklusif dan Mampan' bagi manfaat seluruh Keluarga Malaysia," katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Hari Terbuka GLC di sini pada Jumaat.

Ismail Sabri berkata, kerajaan sedar keperluan untuk potensi rangkaian GDRN ditambah baik supaya ia bersifat responsif dan lebih proaktif dalam membina keupayaan dan daya tahan Keluarga Malaysia.

Ujarnya, GDRN yang ditubuhkan bertujuan menyelaraskan pemberian bantuan sosial dan pembinaan semula selepas bencana alam atau malapetaka telah menyumbang kepada operasi pemulihan dan pembinaan semula, terutamanya untuk mangsa banjir di Kelantan, Pahang dan Johor.

"Dalam tempoh dua tahun sejak tahun 2020, GDRN juga telah berjaya membantu lebih daripada 450,000 orang yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan banjir dengan pelbagai jenis bantuan bernilai RM327 juta, termasuk geran padanan Kerajaan melebihi RM55 juta," katanya.

Mengenai Hari Terbuka GLC 2022, Ismail Sabri berkata, ia bertujuan mendekatkan Keluarga Malaysia dengan GLC dan GLIC, terutamanya dalam membina semula kehidupan pasca pandemik Covid-19.

Katanya, bertemakan ‘Aspirasi Masyarakat, Inspirasi Negara’, Hari Terbuka GLC 2022 menekankan usaha berterusan GLC dan GLIC dalam membina semula kehidupan Keluarga Malaysia pasca pandemik

"Ia turut mempamerkan konsep GLC dekat dengan rakyat, selaras dengan Aspirasi Keluarga Malaysia.

"Sepanjang tiga hari ini, Keluarga Malaysia harus merebut peluang-peluang yang ditawarkan oleh GLC dan GLIC, termasuk peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang, sokongan perniagaan untuk PKS dan peluang kerjasama dengan GDRN oleh badan-badan bukan kerajaan," katanya.