PETALING JAYA - Seorang lelaki maut dihimpit lorinya yang bergerak sendiri dalam kejadian di pekarangan stesen minyak di Jalan Gasing di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian kira-kira jam 7 pagi.
Iklan
Iklan
"Kejadian melibatkan seorang lelaki warga tempatan berumur 54 tahun. Ketika kejadian mangsa dipercayai hendak memasuki lori miliknya.
"Bagaimanapun siasatan awal mendapati lorinya itu bergerak sendiri mengakibatkan mangsa terhimpit antara lori dan bangunan stesen minyak tersebut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mohamad Fakhrudin berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian diharap tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Inspektor Mohamad Khairil Helmi Mohamad Isa di talian 019-3318339 untuk membantu siasatan," katanya.