KPKT salur RM1 juta bersih tanah runtuh

Iklan
Reezal Merican

AMPANG - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Jumaat meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk kerja-kerja pembersihan infrastruktur awam yang terjejas akibat tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 di sini.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, peruntukan itu akan disalurkan menerusi Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan selepas kawasan cerun berkenaan disahkan selamat.

Iklan
Iklan

"Kita harap kerja-kerja pembersihan boleh dilakukan secepat mungkin, peruntukan ini telah diluluskan dan kalau ada keperluan tambahan kita akan tambah peruntukan.

"Kita juga meminta jabatan yang berkaitan untuk melakukan analisa risiko cerun bagi memastikan penduduk setempat berasa selamat berada di kawasan perumahan mereka," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan runtuhan di sini pada Jumaat.

Iklan

Turut hadir meninjau kawasan runtuhan adalah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar serta Ahli Parlimen Pandan, Wan Azizah Wan Ismail.

Noh Omar yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor berkata, jabatan berkaitan perlu menjalankan analisis risiko dan ujian berkaitan di kawasan cerun di negeri ini susulan beberapa kejadian runtuhan yang sering berlaku.

Iklan

"Sudah sampai masanya kerajaan Persekutuan membuat kajian mengenai kedudukan bukit dan tanah tinggi terutamanya di kawasan Ampang.

"Kita tidak mahu peristiwa Highland Tower berulang lagi," katanya.