KUALA TERENGGANU - Kerajaan perlu merangka pelan mitigasi dan membuat adaptasi antara agensi kerajaan yang terlibat dalam meminimumkan risiko bencana banjir puing bagi kawasan berisiko di seluruh negara.
Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata, kajian dan penyelidikan terhadap aliran puing serta banjir puing perlu dipertingkatkan bagi memastikan mitigasi dan adaptasi untuk jangka masa yang panjang dapat dilaksanakan.
"Seperti mana saya bangkitkan dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada petang semalam, pakar geo bencana menyatakan banjir dahsyat berlaku di Selangor dan Pahang pada Disember lalu menunjukkan kaitan dengan fenomena rantaian proses geologi iaitu bermula dengan tanah runtuh, aliran puing, banjir puing dan berakhir dengan banjir lumpur.
"Ia juga sama seperti berlaku di sepanjang Sungai Terengganu baru-baru ini berikutan fenomena aliran puing,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Menurut Che Alias, kerajaan disyorkan melaksanakan pengurusan pengurangan risiko bencana geologi dengan membuat pemetaan bagi kawasan yang berisiko berlakunya aliran puing di seluruh negara.
Beliau berkata, pemantauan secara berkala di lokasi-lokasi berpotensi bahaya dan berlaku aliran puing terutama di kawasan pergunungan serta tanah tinggi perlu dilakukan.
"Walaupun banjir puing jarang berlaku seperti banjir biasa tetapi fenomena ini sering berlaku di kawasan pergunungan Malaysia jika berlaku hujan lebat berlarutan sehingga empat atau lima hari selain kejadian tanah runtuh.
"Fenomena banjir puing juga perlu diberi perhatian oleh kerajaan kerana impak bencana ini bukan sahaja mengorbankan nyawa malah menyebabkan kemusnahan harta benda berskala besar,” katanya.