PH, PN didakwa tak berani umum calon MB hingga saat akhir

Iklan
Syed Mohd Johan Rizal

ALOR SETAR - Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN) didakwa tidak berani mengumumkan calon menteri besar masing-masing menjelang hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor meskipun ia penting bagi memperoleh keyakinan rakyat Johor.

Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, tindakan itu memberi gambaran seolah PH dan PN tidak bersedia mentadbir dan tiada kesepakatan untuk menerajui negeri Johor.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tiada parti politik lain selain Barisan Nasional (BN) yang mengumumkan calon menteri besar kerana parti itu serius mahu rakyat mengembalikan mandat kepada BN.

"Sehingga ke hari terakhir sebelum mengundi, kedua-dua gabungan pembangkang mahupun kerajaan PN masih belum umum calon menteri besar jika mereka menang PRN Johor.

Iklan

"Ini jelas membuktikan, mereka saling mencurigai dan tidak ikhlas sesama sendiri, jauh sekali memiliki keyakinan untuk mentadbir serta menjamin kestabilan masa depan Johor,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Datuk Hasni Mohammad yang juga Pengerusi UMNO dan BN Johor akan mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Besar Johor sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan.

Iklan

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Mohd Johan Rizal berkata, kebangkitan prestasi BN kali ini adalah atas inisiatif dan proaktif sendiri untuk belajar daripada kesilapan lalu.

"Kita berani berubah ke arah rejuvinasi parti, sekali gus memberi keyakinan kepada majoriti rakyat yang sebelum ini diperdaya oleh parti lain yang berbeza tetapi memiliki DNA PH dan wajar dilabel sebagai PH 2.0.

"Perubahan budaya dalam BN kini jelas, kita bukan lagi bercakap tentang pembangunan lalu atau hari ini, kita kini lebih terbuka dan berani membicarakan masa depan serta hala tuju yang sesuai dengan peredaran zaman,” ujarnya.

Beliau berkata, BN juga telah tampil dengan dasar yang lebih baik sesuai untuk segenap lapisan masyarakat, khususnya berkaitan ekonomi dan pendidikan untuk tempoh lima tahun akan datang.

"Zaman ini bukan lagi zaman retorik, BN Johor yang dipimpin oleh Hasni sebagai ‘poster boy’ membuktikan kesungguhan selain manifesto realistik menerusi lima Ikhtiar BN Johor bagi menjamin kestabilan kerajaan negeri ke arah lebih gemilang, khususnya anak muda Johor,” katanya.

Syed Mohd Johan Rizal mendakwa, ketika berkampung di Johor sepanjang tempoh berkempen menyaksikan bangsa Johor seolah-olah tidak lagi rela melakukan kesilapan ketika membuat pilihan.

"Sentimen itu dirasai bukan sahaja oleh orang Melayu, malah kaum Tionghua, India dan golongan belia memperlihatkan sikap positif mereka untuk kestabilan masa depan Johor.

"Walaupun sokongan nampak positif, namun BN harus waspada terhadap PH 2.0 yang sentiasa licik memperdaya di saat pecutan terakhir ini,” katanya.

Menurutnya, Pemuda UMNO percaya kesungguhan rakyat Johor yang cintakan masa depan negeri itu akan menyebabkan sokongan dikembalikan kepada BN.

"Saya percaya sekiranya mandat diberikan kepada BN, ia akan dilaksanakan dengan penuh amanah, integriti dan tidak sesekali dipersiakan. Terjemahkan sokongan kepada BN, demi kestabilan masa depan,” katanya.


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my