Buka sempadan: Peniaga jangan naikkan harga barang

Iklan
Peniaga tidak boleh menjadikan pembukaan sempadan sebagai lesen untuk mengenakan harga yang tinggi terutama kepada pelancong dari luar negara. - Foto Bernama

KOTA BHARU - Persatuan Pengguna Kelantan Darulnaim menyeru peniaga tidak menaikkan harga barangan apabila sempadan negara dibuka bermula 1 April ini.

Timbalan Presiden Persatuan Pengguna Kelantan Darulnaim, Datin Khazuni Datuk Othman berkata, kenaikan harga tanpa alasan munasabah akan membebankan pengguna, tidak mengira sama ada melibatkan pelanggan dari dalam mahupun luar negara.

Iklan
Iklan

"Jangan pula ada penjual yang sudah berkira-kira untuk menaikkan harga barangan bersempena dengan pembukaan sempadan ini.

"Berniagalah seikhlas yang mungkin, ternyata rezekinya akan lebih luas lagi daripada mengenakan harga tidak masuk akal dan membebankan pembeli," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Iklan

Menurutnya, pengumuman pembukaan sempadan berkenaan disambut baik semua pihak terutama peniaga kerana mereka hilang separuh punca pencarian sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sebelum ini.

Namun katanya, peniaga tidak boleh menjadikan pembukaan sempadan ini sebagai lesen untuk mengenakan harga yang tinggi terutamanya kepada pelanggan dari luar negara.

Iklan

"Letak harga sama saja. Jangan ada perbezaan antara pelanggan dari dalam mahupun luar negara. Tambahan lagi mereka yang datang itu bukan mudah untuk masuk ke Malaysia.

"Apa yang penting, kita doakan semoga endemik nanti membawa satu kebaikan kepada semua pihak. Jangan lupa jaga diri dan jaga prosedur operasi standard (SOP) setiap masa," katanya.

Selasa lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sempadan negara akan dibuka sepenuhnya pada 1 April selaras dengan perubahan Malaysia ke arah fasa peralihan endemik.

Menurutnya, dengan pembukaan semula sempadan, rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen sah boleh keluar masuk seperti biasa dan boleh pergi ke mana-mana negara yang turut membuka pintu sempadannya.

Kementerian yang berkaitan juga akan mengeluarkan SOP pembukaan sempadan negara secara terperinci dalam masa terdekat.