LA PAZ - Bekas tentera Bolivia yang mendakwa menembak mati ikon revolusi Marxis, Ernesto 'Che' Guevara meninggal dunia pada Rabu.
Kematian Mario Teran Salazar, 80, diumumkan keluarganya di timur bandar Santa Cruz de la Sierra.
Hospital yang merawat Salazar bagaimanapun enggan mengulas kematian lelaki tersebut atas faktor kerahsiaan maklumat rekod perubatan.
Salazar menembak mati Guevara pada 9 Oktober 1967 di wilayah timur Santa Cruz, Bolivia pada kemuncak Perang Dingin.
Guevara, 39, yang cedera ditangkap pada 8 Oktober 1967 oleh sekumpulan askar Bolivia - dibantu dua ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) serta dibawa ke sebuah sekolah terbiar di perkampungan La Higuera.
Keesokan harinya, Salazar dengan persetujuan Presiden ketika itu, Rene Barrientos (1964-1969) melepaskan beberapa das tembakan yang meragut nyawa Guevara.
Selepas 30 tahun perkhidmatan dalam tentera, Salazar menjalani kehidupan biasa namun penuh kerahsiaan bagi mengelak ditemu bual wartawan.
Malah bagi mengelak diwawancara pihak media, Salazar pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia bukan pembunuh sebenar Che Guevara.
Selepas kematian Guevara, pemimpin yang dilahirkan di Argentina itu diangkat menjadi simbol revolusi di Cuba.
Selain terlibat dalam revolusi di Cuba, Guevara turut terlibat secara langsung dalam dua lagi revolusi bersenjata di Congo dan Bolivia pada tahun 1960an. - AFP