JOHOR BAHRU – Perikatan Nasional (PN) yang menggabungkan beberapa parti utama antaranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan menggesa pengundi muda keluar beramai-ramai membuang undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi menyatakan pendirian mereka dalam menolak kemungkaran dan penyalahgunaan kuasa.
Setiausaha Penerangan Bersatu Perak, Datuk Dr Zulkifli Abdul Aziz berkata, PN sendiri menawarkan satu wadah perjuangan kepada bangsa Johor iaitu memastikan kepemimpinan Johor bebas daripada penyalahgunaan kuasa.
Menurutnya, setiap pengundi haruslah menerima hakikat dan realiti bahawa ‘yang bersalah’ tidak layak untuk memimpin Johor.
"Sebab itu wadah perjuangan PN iaitu bebas daripada penyalahgunaan kuasa. PN juga akan memastikan kepemimpinan PN yang ditawarkan kepada bangsa Johor adalah mereka yang berintegriti.
"Dalam hal ini, PN mengajak bangsa Johor menerima hakikat ‘yang bersalah tidak layak memimpin’. Oleh itu, jangan pula kita bersubahat dengan mereka yang bersalah,” katanya.
Jelasnya, para pengundi muda menjadi penentu kepada masa depan bangsa dan negeri Johor dan kesempatan itu harus diterjemahkan dalam PRN Johor.
"Jangan silap langkah memilih pemimpin ‘yang bersalah’ untuk mentadbir negara,” katanya.
Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my