MOSCOW - Timbalan Wakil Tetap Pertama Rusia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Dmitry Polyanskiy menyelar laporan mengenai serangan udara di sebuah hospital di Mariupol sebagai berita palsu, lapor agensi berita Sputnik.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia, Iog Konasshenkov pula berkata, serangan udara yang berlaku di bandar sama adalah tindakan provokasi bertujuan menyemarakkan anti-Rusia.
Malah pegawai pertahanan tersebut menegaskan bahawa Tentera Udara Rusia ' tidak melakukan operasi' di kawasan Mariupol.
"Analisis kenyataan dibuat wakil Kiev, bahan-bahan fotografi dari hospital yang terbiar tidak menimbulkan keraguan sama sekali dan dakwaan serangan udara adalah provokasi yang dirancang untuk menyemarakkan kebencian dalam kalangan orang Barat," kata Konasshenkov.
Beliau menjelaskan bahawa walaupun terdapat kerosakan luar dan dalam hospital tersebut yang boleh mengelirukan 'penonton' bukan profesional di Eropah dan Amerika Syarikat, tetapi mereka tidak boleh menipu pakar.
Jelasnya, hospital di Mariupol termasuk hospital N03 yang didakwa dibedil sepanjang malam sebenarnya telah menghentikan operasinya pada hujung Februari lalu.
"Semua kakitangan dan pesakit telah dipindahkan sejak awal oleh kerajaan dan hospital itu diubah menjadi kubu kuat batalion nasionalis Azov," katanya.
Dalam perkembangan lain, Rusia menyatakan pihaknya tidak akan menunggu kebenaran Ukraine untuk memindahkan orang awam dari Kiev, Kharkiv, Mariupol dan bandar-bandar lain ke Rusia.
"Kami secara rasmi mengisytiharkan bahawa koridor kemanusiaan menuju ke Persekutuan Rusia akan dibuka secara sebelah pihak, tanpa kelulusan mana-mana pihak," kata Ketua Pusat Pengurusan Pertahanan Negara, Kolonel Jeneral Mikhail Mizintsev.
Tambahnya, tentera Rusia akan 'menjamin keselamatan penuh' kepada mereka yang memilih untuk meninggalkan Kiev, Chernigov, Sumy, Kharkov dan Mariupol menerusi laluan keluar yang dikawal pasukan tentera Rusia. - Agensi