'Satu penghormatan buat MSC'

Iklan
Suhaili (tiga dari kanan), bersama Sijil Keahlian ASTAF yang diterimanya pada Jumaat.

KONFEDERASI Sepak Takraw Malaysia (MSC) menyambut baik tawaran daripada Konfederasi Sepak Takraw Asia (ASTAF) untuk menganjurkan Kejuaraan Sepak Takraw Dunia di negara ini.

Malah Presiden MSC, Datuk Suhaili Abdul Rahman menyifatkan tawaran tersebut merupakan satu penghormatan kepada sebuah persekutuan yang baharu ditubuhkan.

Iklan
Iklan

"Secara keseluruhannya kita menerima dengan baik tawaran untuk menjadi tuan rumah bagi kejuaraan sepak takraw ini dan sekiranya ia benar-benar berlaku, ia juga merupakan satu penghormatan kepada Malaysia.

"Justeru, sebagai sebuah persatuan baharu, kita ada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang boleh membantu kita bagaimana untuk menjayakan program bertaraf dunia.

Iklan

"Bagaimanapun, penganjurannya perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan kerana segala peruntukan datang daripada mereka.

"Oleh itu, kita juga perlu berbincang dengan pihak kementerian dan juga pihak berwajib,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Iklan

Tawaran supaya kejuaraan sepak takraw berkenaan dianjurkan di negara ini dibuat oleh Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader ketika menyampaikan secara maya Sijil Keahlian ASTAF kepada Suhaili secara simbolik menerusi aplikasi Zoom.

Sementara itu Suhaili berkata, MSC bersedia untuk memenuhi kriteria dan prosedur kemasukan yang ketat supaya diiktiraf sebagai ahli gabungan MOM.

Malah katanya, MSC juga akur dengan apa sahaja syarat ditetapkan oleh MOM yang menegaskan MSC masih perlu melalui beberapa kriteria dan prosedur kemasukan yang ketat sebelum dipilih menjadi ahli gabungan MOM.

"MOM ini satu badan yang menyelia persatuan ke pertandingan di peringkat antarabangsa. Oleh itu, kalau diletakkan syarat macam tu, kita ikutlah. Kita isi apa yang perlu diisi nanti.

"Kalau sudah jadi 'the one and only' badan sepak takraw nanti, mungkin keadaannya berbeza kerana sekarang ada dua iaitu Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang tidak lagi menjadi ahli ASTAF dan Konfederasi Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF).

"Itu sebabnya kita tubuhkan MSC dan ASTAF terima. Jadi sekarang kita hanya minta untuk menjadi ahli gabungan atau ahli biasa MOM supaya kita boleh mewakili negara dalam sukan sepak takraw di peringkat antarabangsa,” katanya lagi.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sebelum ini menegaskan bahawa MSC masih perlu melalui beberapa kriteria dan prosedur kemasukan yang ketat sebelum dipilih menjadi ahli gabungan kepada MOM.

Sementara itu, Suhaili berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan MOM, KBS, MSN dan Pesuruhjaya Sukan (PJS) dalam masa terdekat.

Katanya, sebagai sebuah persatuan yang diiktiraf, pertemuan itu wajar dibuat dalam usaha menjadikannya sebagai badan yang mengendalikan segala urusan sukan sepak takraw di negara ini.

"Kita akan akan adakan pertemuan dengan semua pihak ini. Kita kini merupakan persatuan yang diiktiraf,” katanya.