PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel memberi jaminan bahawa The Blues tidak akan terjejas dengan sekatan dilakukan kerajaan Britain terhadap pemiliknya, Roman Abramovich selepas kejayaan melakar kemenangan meyakinkan 3-1 ke atas Norwich City dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Carrow Road.
"Pada ketika ini, saya tahu banyak desas-desus di sekeliling mengenai situasi yang melanda Chelsea. Sejujurnya saya tidak mempunyai jawapan kepada pertanyaan berkenaan kelab ini.
"Namun, saya akui masih gembira berada di London dan masih bertuah dapat menjalankan tugas sebagai pengendali sebuah kelab hebat seperti Chelsea.
"Malah, pada perlawanan hari ini, pemain telah mempamerkan semangat berpasukan tinggi untuk meraih tiga mata bagi membolehkan pasukan terus kekal bersaing musim ini,” katanya.
Untuk rekod, pemilik Chelsea, Roman Abramovich merupakan antara tujuh olgarki Rusia yang dikenakan sekatan oleh kerajaan British susulan pencerobohan negara tersebut ke atas Ukraine.
Malah, selain aset jutawan Rusia itu dibekukan, kelab London tersebut juga dikenakan larangan ketat yang kini tidak boleh menandatangani pemain baharu, memperbaharui kontrak atau menjual tiket perlawanan.
Kedai cenderahati Chelsea turut ditutup manakala penaja utama jersi, syarikat telekomunikasi Three mengambil tindakan menggantung sementara perjanjian mereka.
The Blues kini berada di kedudukan ketiga liga masih bersaing dalam pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara dan suku akhir Piala FA.
Sementara itu, Kapten Chelsea, Cesar Azpilicueta mengakui ia adalah hari yang luar biasa untuk para pemain, namun menggesa rakan sepasukannya memberikan sepenuh tumpuan kepada persembahan masing-masing dan melupakan segala insiden di luar padang.
"Saya perlu mengakui bahawa ini bukan hari biasa dan kami tidak boleh mengawal perkara ini daripada berlaku pada masa hadapan.
"Dalam konteks saingan Liga Perdana Inggeris, kami tahu betapa sukarnya untuk mendapatkan mata. Jadi kami perlu melupakan perkara yang berlaku di luar dan fokus kepada perlawanan,” jelas Azpilicueta.