KUALA LUMPUR - Seramai 389 individu dikompaun dalam serbuan ke atas 16 pusat hiburan di ibu negara bagi tempoh dua bulan bermula Januari tahun ini.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Aidi Ismail berkata, serbuan di bawah Ops Kekang itu dilaksanakan bagi memastikan pusat-pusat hiburan serta pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat.
"Bagi tempoh dua bulan tahun ini iaitu Januari dan Februari, JPJKK telah menjalankan pemeriksaan ke atas 16 buah premis pusat hiburan dan 389 orang termasuk pengunjung dan pemilik premis telah diperiksa.
"Hasil tindakan sepanjang tempoh itu, kita telah mengeluarkan kompaun keseluruhan berjumlah RM406,000," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Aidi memberitahu, pihaknya melaksanakan operasi tersebut secara bersepadu membabitkan elemen JPJKK, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).
Katanya, JPJKK akan mengkoordinasi segala tindakan daripada jabatan-jabatan lain untuk bertindak dengan lebih berkesan khususnya ke atas premis pusat hiburan yang melakukan kesalahan SOP.
"Selain tindakan ke atas pemilik pusat hiburan, pengunjung juga dikenakan tindakan termasuklah perlu menjalani ujian saringan air kencing untuk tindakan lanjut," katanya.
Beliau berkata, pemilik pusat hiburan adalah diingatkan agar patuh SOP PPN serta syarat lesen yang diberikan.
Beliau memberi amaran polis akan mengesyorkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membatalkan lesen ke atas premis hiburan yang masih berdegil dan beberapa kali melakukan kesalahan berulang.
"Ketika kes Covid-19 sedang meningkat, semua pihak dan individu perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakan daripada risiko penyebaran wabak terbabit," ujarnya.