IPOH - Bongkah-bongkah batu seberat lebih 200 tan menjadi cabaran utama kepada pasukan bomba dalam operasi mencari dan menyelamat dua mangsa yang tertimbus dalam runtuhan kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini pada Sabtu.
Operasi memasuki hari kelima itu diteruskan dengan membuka laluan ke lokasi Itam Bah Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49, dipercayai terperangkap.
Timbalan Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Aidil Adlee Che Mee berkata, keupayaan dua jengkaut yang digunakan kini tidak dapat mengalihkan batu yang dianggarkan sebesar bangunan tiga tingkat itu.
Menurutnya, beberapa siri letupan dilakukan dengan penuh berhati-hati sejak Khamis lalu bagi memecahkan bongkah batu tersebut.
"Letupan itu diperlukan bagi mengecilkan bongkah-bongkah batu ini selain ruang kerja untuk jengkaut ke sektor pencarian sangat terhad.
"Setiap letupan, kita melihat struktur dinding bukit yang berisiko jatuh selain ruang di antara batu ini yang boleh menyebabkan berlaku gelongsoran pada bila-bila masa.
"Operasi dilaksanakan penuh teliti kerana dibimbangi boleh membahayakan kepada pemandu jengkaut dan pasukan penyelamat," katanya ketika dihubungi di sini.
Aidil Adlee berkata, kedua-dua mangsa yang dipercayai pemandu dan pembantunya tertimbus sedalam 15 hingga 20 meter.
"Laluan sepanjang 300 meter atau kira-kira 70 peratus telah dibuka ke lokasi sebenar mangsa terperangkap.
"Unit Anjing Pengesan (K9) bomba akan diaturgerakkan sekurang-kurangnya pada Ahad bergantung kepada keadaan cuaca dan struktur batu," katanya.
Jelasnya, pasukan penyelamat kini dalam keadaan siap siaga dengan pemantauan dilakukan pasukan elit bomba, Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).
Dalam kejadian sekitar pukul 9.15 pagi Selasa lalu, empat mangsa terlibat dalam runtuhan dengan seorang mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan.
Operasi masih diteruskan dengan mengesan dua lagi mangsa yang masih hilang dalam kejadian itu.