Kelesuan politik punca peratusan keluar mengundi rendah

Iklan
Sivamurugan meramalkan jumlah peratusan keseluruhan keluar mengundi dalam PRN Johor hanya sekitar 60 peratus.

SHAH ALAM - Peratusan keluar mengundi yang rendah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu sememangnya sudah dijangka dari awal ekoran dilihat berlaku kelesuan politik dalam kalangan pengundi ketika ini.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, kelesuan itu dipengaruhi rasa muak dan kecewa pengundi terhadap keadaan politik tanah air.

Iklan
Iklan

"Peratusan keluar mengundi yang rendah ini juga barangkali disebabkan oleh ramai pengundi berhati-hati dan takut dengan jangkitan Covid-19, jadi mereka ambil keputusan untuk tidak keluar mengundi.

"Selain itu, mungkin kurang pengundi luar yang balik khususnya dari Singapura, Selangor, Melaka dan mungkin mereka baru sahaja balik semasa cuti umum sebelum ini seperti semasa perayaan Tahun Baharu Cina," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Iklan

Setakat jam 4 petang, Sabtu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan peratusan keluar mengundi masih rendah iaitu 50 peratus.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengundi juga mungkin berpendirian bahawa mengundi mana-mana parti adalah sama sahaja yang menyebabkan mereka tidak mahu membazir masa untuk keluar membuang undi.

Iklan

Justeru, melihat kepada situasi semasa peratusan keluar mengundi itu, Sivamurugan meramalkan jumlah peratusan keseluruhan keluar mengundi dalam PRN Johor sehingga masa pengundian tamat iaitu pada jam 6 petang hanya sekitar 60 peratus.

Katanya, peratusan itu dijangka lebih rendah berbanding jumlah peratusan pengundian dalam PRN Melaka pada 20 November lalu iaitu sebanyak 65 peratus.

"Berdasarkan peratusan semasa pengundi yang keluar mengundi ini, saya lihat sukar untuk peratusan keluar mengundi melangkaui 60 peratus melainkan semua jentera parti bergerak dengan lebih agresif dalam baki jam yang tinggal sebelum proses pengundian ditutup," ujarnya.

Menurutnya, keadaan itu sekali gus membuktikan andaian beberapa pihak sebelum ini bahawa peratusan keluar mengundi dalam PRN Johor akan meningkat disebabkan pendaftaran automatik sebagai pengundi bagi rakyat berusia 18 tahun atau Undi 18 adalah tersasar.

Sivamurugan menjelaskan, beliau dari awal menjangkakan perkara itu tidak akan berlaku berdasarkan banyak faktor.

"Faktor itu termasuklah pengaruh ibu bapa. Kalau ibu bapa tidak keluar mengundi, anak-anak mereka juga tidak akan berbuat demikian. Pengundi muda ini dipengaruhi rakan sebaya. Jika rakan mereka tidak mengundi, mereka juga tidak akan mengundi.

"Selain itu, mungkin ada antara anak muda ini tidak tahu mereka telah didaftarkan secara automatik sebagai pemilih serta tiadanya kesedaran dalam kalangan generasi muda ini untuk partisipasi dalam politik atau pemilihan pemimpin untuk membangunkan negara," jelasnya.