KANGAR - Seramai 17 orang daripada 51 pesakit buah pinggang meninggal dunia akibat komplikasi sementara menunggu giliran untuk dialisis.
Pengarah Kesihatan Perlis, Dr Sirajuddin Hashim berkata, 34 lagi berjaya dimasukkan secara berperingkat dalam program dialisis.
Menurutnya, situasi ini amat membimbangkan dan perlu dicegah terutama di peringkat awal.
"Seramai 51 pesakit yang menunggu untuk dapatkan slot dialisis sepanjang tempoh bermula April 2020 hingga Februari 2022.
"Jumlah ini semakin bertambah pada kadar 18 hingga 20 peratus setahun," katanya sempena kempen ‘Perlis Hebat, Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’ yang disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada Sabtu.
Sirajuddin berkata, terdapat empat buah pusat dialisis swasta di Perlis yang merawat seramai 180 pesakit.
"Di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dalam bangunan wakaf yang disumbangkan melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), seramai 96 pesakit sedang dirawat untuk dialisis buah pinggang," katanya lagi.
Menurutnya, sementara menunggu giliran pemindahan organ, penghidap terpaksa melakukan dialisis yang memakan belanja antara RM250 hingga RM280 bagi setiap dialisis yang dilakukan di pusat haemodialisis milik persendirian.
"Harga lebih rendah boleh didapati di pusat haemodialisis yang diuruskan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Namun kos keseluruhan rawatan buah pinggang bagi seorang individu agak membebankan kerana boleh cecah hampir RM40,000 setahun," katanya.
Dalam pada itu, Sirajuddin berkata, program anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama MAIPs dan Jabatan Kesihatan Perlis itu diadakan bagi memperingati ‘Hari Buah Pinggang Sedunia’ yang disambut pada 10 Mac setiap tahun.
"Hari peringatan yang bertemakan 'Kesihatan Buah Pinggang Untuk Semua' diadakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai pentingnya buah pinggang kepada manusia," ujarnya.
Sementara itu, seramai tiga asnaf terpilih menerima kunjungan Tuanku Syed Faizuddin Putra di rumah masing-masing bagi menyampaikan agihan zakat MAIPs.