KEMENANGAN 4-0 Kelantan United ke atas Kinabalu Jaguar dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA, diyakini meningkatkan semangat para pemain The Green Deers menjelang kunjungan ke Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) II bagi aksi Liga Premier, Jumaat ini.
Bagaimanapun pengendali Kelantan United, Syamsul Saad mengakui masih terdapat elemen yang memerlukan penambahbaikan supaya pasukan mampu memberikan persembahan lebih mantap di Larkin.
"Walaupun kita tahu JDT II merupakan pasukan yang lebih baik berbanding Kinabalu Jaguar, namun kemenangan ke atas Kinabalu Jaguar ini diharap meningkatkan lagi semangat para pemain untuk memburu kemenangan kedua musim ini.
"Bagaimanapun, secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan kemenangan ini dan berharap segala kelemahan dapat diperbaiki menjelang pertemuan dengan JDT II,” katanya.
Pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu, gol kelab Liga Premier tersebut dijaringkan Muhammad Haziq Mohd Subri pada minit ke-35, Muhamad Asraff Aliffuddin Yasin (43'), Amidu Salifu (52') dan Njoku Jacob (58').
Sementara itu, pengendali Kinabalu Jaguar FC, Mohd Aiyyman Shah Johny Abdullah mengakui pasukan Liga M3 hilang tumpuan ketika cuba mengimbangi perlawanan dalam tempoh 10 minit pertama, selain pemain juga sering kehilangan bola terutamanya ketika perebutan di udara.
"Kita cuba imbangi perlawanan dalam 10 minit yang pertama, tetapi kita kemudiannya hilang konsentrasi setelah banyak kali hilang bola di udara kerana para pemain kita kebanyakannya rendah.
"Separuh masa kedua kita cuba melawan, tetapi tidak berjaya memberikan saingan kepada Kelantan United. Bagaimanapun, secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan persembahan pemain saya untuk perlawanan ini,” katanya.