KUANTAN -"Jangan tangguh lagi aktiviti perlombongan bauksit,” desak seorang peneroka Felda Bukit Goh, Nik Abdul Majid Nik Sin,72, yang mewakili 219 peneroka yang memajukan tanah mereka bagi tujuan perlombongan bauksit.
Katanya, dia bersama peneroka lain sudah cukup terseksa dengan kehidupan tiga tahun kebelakangan ini kerana sumber pendapatan mereka tersekat akibat tempoh moratarium yang dilaksanakan sejak Januari 2016.
Menurut Nik Abdul Majid, dia mengharapkan kerajaan dapat membenarkan perlombongan bauksit dijalankan dengan segera bagi membolehkan tanah mereka dibangunkan menerusi penanaman semula sawit pada 2020.
"Kami dah cukup menderita. Kalau masih tangguh dari setahun ke setahun, sebulan ke sebulan, bagaimana Felda hendak buat penanaman semula kalau tanah kami yang mempunyai bauksit masih belum dilombong.
"Kami sudah tidak mempunyai pendapatan tetap untuk tanaman sawit dan bauksit. Malah wang belanja pun terpaksa diminta daripada anak-anak. Jadi kehidupannya itu ALLAH sahaja yang tahu macam mana,” katanya ketika ditemui di Felda Bukit Goh, semalam.
Awal bulan Mac lalu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dalam satu kenyataan media menegaskan aktiviti perlombongan di daerah ini tidak boleh terus bermula pada 1 April depan walaupun moratorium perlombongan dan pengeksportan bauksit berakhir 31 Mac ini.
Sebaliknya ia hanya boleh dijalankan semula selepas arahan moratorium pada Januari 2016 ditarik balik seperti termaktub dalam Akta Pembangunan Mineral 1994 selain semua pihak berkepentingan bersedia dan menguatkuasakan SOP bagi menjamin aktiviti perlombongan dilaksanakan secara mampan.
Menyentuh perkara itu, Nik Abdul Majid berkata, peneroka yang terlibat amat kecewa dengan kenyataan terbabit dan hanya menambahkan kesengsaraan mereka semua.
Jelasnya, terdapat tiga golongan yang terkesan akibat tempoh moratorium ini antaranya ladang yang belum ditimbus oleh pengusaha, tanah diusahakan tetapi peneroka masih belum mendapatkan bayaran dan individu yang memajukan tanahnya, tetapi tidak diusahakan lagi.
"Lebih 50 peneroka yang berdepan dengan bayaran tergantung, manakala 30 orang lagi pula tidak dapat membuat penanaman sawit disebabkan tanah masih belum ditimbus.
"Jadi sebab itu, kita mahu Kerajaan Pusat dan Persekutuan membenarkan aktiviti ini dijalakan selepas 31 Mac ini,” katanya.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Felda Bukit Goh, Jeffri Salim berkata, majoriti penduduk kecewa dengan pengumuman terbabit, sekali gus menambah kerisauan mereka semua.
Beliau berkata, penduduk di Bukit Goh, Bukit Kuantan dan sekitarnya berharap Kerajaan Pusat dan Pahang beri satu tempoh tetap bila perlombongan bauksit boleh bermula, bukannya berubah-ubah seperti sekarang ini.
"Saya akui peneroka yang terlibat amat tertekan dengan keadaan ini kerana ia melibatkan punca pendapatan mereka dan perkara itu sudah berlarutan hampir tiga tahun.
"Jadi saya berharap perlombongan ini dapat dimulakan sebelum Aidilfitri bagi membantu penduduk membuat persiapan dan memperbaiki kehidupan dengan pendapatan perlombongan bauksit di tanah masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Kami Anak Felda (KAF) Bukit Goh, Datuk Mohd Bakri Abdul Majid mahu kerajaan harus membuat keputusan segera dengan membenarkan semula kegiatan perlombongan bauksit.
Katanya, ini dengan mengambil kira kepentingan pemilik tanah yang sudah beberapa tahun hilang punca pendapatan akibat tempoh moratorium tersebut.
"Pemilik tanah kehilangan pendapatan selepas moratorium dikenakan.Kalau kita lihat kawasan itu boleh diibaratkan sebagai padang jarak padang terkukur yang tidak boleh diusahakan termasuk penanaman sawit.
"Kita juga berharap Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tampil untuk membela nasib pemilik tanah yang terjejas,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya tiada penyelesaian, pihaknya akan menemui Wan Rosdy untuk mengadakan sesi dialog bagi mendengar sendiri rintihan peneroka.