Asma’ul husna sebagai tunjang karya

Iklan
Pendekatan asma’ul husna dalam pengkaryaan dapat membentuk keperibadian mulia anak muda.

KEBANJIRAN novel popular dalam pasaran melanda dunia sastera. Pembaca dimomokkan dengan kisah cinta teruna dara.

Kisah berantakan dalam rumah tangga yang merimaskan dan tidak sesuai untuk bacaan anak muda. Deretan tajuk novel popular yang bermula dengan pangkal ‘cinta’ ‘kasih’, ‘sayang’ dan ‘rindu’ berlambak di pasaran.

Iklan
Iklan

Segelintirnya pula diadaptasi menjadi drama televisyen dengan plot yang mengasyikkan penonton khasnya remaja.

Sebenarnya, fenomena ini amat merisaukan kerana seolah-olah karya sastera ketandusan kisah berguna untuk manfaat generasi muda.

Iklan

Selain itu, terdapat juga novel yang menggunakan bahasa slanga, dan bahasa rojak yang menyerlahkan kejelikan nyata dan ketara.

Malah, sejak akhir-akhir ini pula muncul novel picisan yang diramu dengan plot ranjang yang menjengkelkan sekiranya dibaca. Paling jelik apabila terdapat adegan berbaur seks tanpa rasa bersalah kala menulisnya.

Iklan

Apakah yang sedang berlaku dalam dunia penerbitan tanah air dan mengapa barisan novel sebegini rupa ‘laris’ serta ‘bebas’dijual?

Musabab itu tidak pelik dalam kalangan anak muda hari ini yang punah akhlaknya. Musabab itu tidak janggal dalam kalangan remaja kini yang terang-terangan melakukan kemungkaran kerana terpengaruh dengan novel yang dibacanya.

Amat mendukacitakan lantaran penulis yang memperihalkan kisah dalam novel popular dan novel picisan tanpa rasa bersalah, sekali gus merasa bangga. Bagaimanakah kesudahan anak bangsa kita?

Apakah karya yang selayaknya buat para pembaca terutama generasi muda ? Setelah sekian lama tanah air bebas daripada cengkaman penjarah, adakah masih lagi mahu berkiblatkan Barat yang bebas memperaga kisah bobrok dan jelik dengan sesukanya?

Kisah berantakan rumah tangga, konflik cinta teruna dara dan plot adegan ranjang telah dibentangkan dalam novel pada dekad 1940-an, 1950-an dan 1960-an, justeru perlukah hal ini diulangi?

Walhal dalam perkembangan sastera Melayu tanah air, gagasan sastera Islam telah muncul pada dekad 1970-an, 1980-an dan 1990-an. Malah, pada dekad 2000, terbentang pelbagai teori dan pendekatan Islam yang dimanfaatkan pengkaji sastera.

Justeru, apakah yang wajar dibangunkan para pengarang untuk tatapan khalayak? Kesedaran tentang kepentingan agama Islam sebagai tunjang dalam pengkaryaan sewajarnya dilipat ganda.

Nilai-nilai luhur yang terakam dalam agama boleh dijadikan iktibar untuk masyarakat sejagat kerana Islam merupakan agama syumul.

Salah satu daripadanya adalah pendekatan asma’ul husna iaitu mewujudkan kepatuhan pengarang terhadap keagungan ALLAH Ya Musawwir Yang Maha Pencipta.

Asma’ul husna diungkap dalam banyak surah. Antaranya surah al-A’raf ayat 180, al-Ikhlas ayat 1, ar-Ra’d ayat 9, Hud ayat 41, al-Maidah ayat 4, al-Ahzab ayat 41, al-Isra’ ayat 44, an-Nur ayat 41, asy-Syura ayat 11, Thaha ayat 8, al-Isra’ ayat 110, al-Anfal ayat 49, dan al-Jumuah ayat 1.

Surah-surah tersebut memperihalkan tentang nama-nama ALLAH SWT yang memiliki kemuliaan dan keistimewaan tersendiri yang perlu diketahui manusia sekali gus merasa gerun untuk berbuat noda.

Muhasabah

Berdasarkan terjemahan surah-surah tersebut menunjukkan bahawa ALLAH SWT memiliki 99 nama yang mengajak manusia bermuhasabah dan bersemangat untuk menghasilkan karya yang dapat menumbuhkan mukhlis dalam jiwa.

Misalnya terjemahan surah al-A’raf ayat 180:"Dan ALLAH mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling daripada kebenaran dalam masa menggunakan nama-nama-Nya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan” mengajak manusia ke arah kebaikan, kebenaran dan kemuliaan sepanjang masa.

Berdasarkan 99 nama-nama Tuhan terserlah pemahaman tentang penciptaan ALLAH SWT sebagai pasak dalam penulisan yang dapat memberikan kesedaran kepada para pengarang tatkala berkarya. Salah satu daripada asma’ul husna adalah al-Bari’ (Allah Yang Maha Mengatur).

Nama Tuhan ini dapat mengatur ilham penulis untuk membangunkan sebuah karya kreatif yang dapat mendidik jiwa pembaca kepada kehidupan yang mengandungi nilai-nilai murni. Ilham yang terpancar dalam diri penulis dapat menyuntik semangat dalam menghasilkan karya kreatif yang menghubung kebesaran dan keagungan ALLAH SWT sebagai Yang Maha Pencipta.

Justeru, setiap elemen yang ditulis akan mengarah kepada usaha memperlihat aturan terhadap kekuasaan-NYA.

Setiap anyaman bahasa dan gaya bahasa akan mengarah kepada kekaguman manusia kepada Yang Maha Pencipta, yang mengatur segala gerak langkah kehidupan manusia di muka bumi ini.

Oleh itu, dalam sebuah karya kreatif, usaha untuk membimbing pembaca kepada kebaikan, keindahan dan kebenaran perlu berpaksikan kepada garapan bahasa dan gaya bahasa yang mengajak khalayak kepada al-Bari’, ALLAH Yang Maha Mengatur dalam segala aspek lingkaran hidup manusia.

Pendekatan asma’ul husna dalam pengkaryaan dapat membentuk keperibadian mulia anak muda.

Maka, bimbingan bersandarkan nilai-nilai luhur sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara amat diperlukan dalam mengasah bakat yang ada dalam kalangan pengarang tanah air.

Karya sastera yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan di pasaran hari ini patut dikawal selia penghasilannya dengan memperkenalkan ilham asma’ul husna sebagai tunjang dalam pengkaryaan.

Ungkap Syeikh Abdul Qadir al-Jailani:"Biasakan untuk mendengar nasihat-nasihat, sebab hati ketika kosong daripada nasihat maka akan buta.”

Ayuh, tulis dan bacalah karya yang bermutu serta bermakna!

*Profesor Madya Dr. Kamariah Kamarudin ialah Penyelaras Seni Persembahan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia