BRM mahu cipta kejutan di laman Harimau Selatan

Iklan
Azmeer (berdiri, kanan) bersama kesebelasan BRM FC pada aksi play-off dengan Tun Razak City FC, 7 Mac lalu - Foto FB BRM FC

PASUKAN Liga-M3, BRM FC berazam tidak akan memberi laluan mudah kepada penyandang juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila kedua-dua pasukan berentap dalam pusingan pertama Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad.

Menurut Kapten BRM FC, Azmeer Yusoff, para pemain telah diingatkan untuk memberikan aksi terbaik di sepanjang perlawanan biarpun menyedari kelab berkenaan bakal menerima tentangan sengit daripada skuad Harimau Selatan.

Iklan
Iklan

"Kita tahu kita tewas dalam segala aspek, kita tewas daripada segi pengalaman, teknikal, taktikal, bajet kelab, semuanya kita kalah.

"Tetapi setiap pemain sudah semestinya mahukan kemenangan untuk mara ke peringkat seterusnya.

Iklan

"Apapun, bola itu bulat. Oleh itu, jika mereka (JDT) ingin menang, maka kami akan susahkan mereka untuk mencatatkan kemenangan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Untuk rekod, BRM FC mara ke pusingan pertama Piala FA setelah menumpaskan Tun Razak City FC 2-1 pada aksi play-off Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) pada 7 Mac lalu.

Iklan

Mengulas lanjut, Azmeer yang pernah beraksi dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Sultan Ibrahim pada perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah 2020 berharap rakan-rakan sepasukan dapat beraksi bermati-matian sepenuh hati di sepanjang perlawanan tersebut.

"Pesan saya jangan terlalu menghormati JDT. Bermainlah bermati-matian sepenuh hati dan nikmati perlawanan ini.

"Ini kerana, pengalaman bermain bersama JDT di Stadium Sultan Ibrahim, sangat diimpikan setiap pemain dan alhamdulillah, BRM FC antara yang dipilih untuk bermain di stadium yang hebat seperti ini.

"Selain itu, saya juga melihat pertemuan ini sebagai perlawanan yang membolehkan kami menimba pengalaman yang sangat berharga sebagai bekalan mengharungi saingan Liga-M3 nanti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BRM FC, Muhammad Ghafari Muhammad Nasir berkata, aksi berdepan JDT akan memberikan pengalaman yang cukup berharga kepada semua pemain BRM FC.

Oleh itu katanya, kesemua pemain diharap dapat memberikan aksi yang terbaik di sepanjang perlawanan selain memanfaatkan setiap peluang yang diperoleh.

"Ini kali pertama BRM FC beraksi di Piala FA, jadi apabila diundi bertemu JDT, ia pasti akan menjadi pengalaman berharga buat kami untuk menentang sebuah pasukan terbaik.

"Apa pun bagi saya, apa yang mustahak, bila bermain nanti, jangan gentar kerana JDT pun sama macam kita... yang penting bermainlah dengan semangat kesukanan yang tinggi, kalau menang itu satu bonus, kalau kalah ia sememangnya sudah diramalkan.

"Bagaimanapun, kita akan berjuang habis-habisan dan tak akan berikan laluan mudah kepada JDT,” katanya.