SHAH ALAM - Pas boleh terus berjihad sebagai pembangkang kepada kerajaan yang mesra dan bersikap matang.
Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, biarpun belum menang di Johor, Pas akan terus mencuba dengan strategi baharu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Muhasabah boleh dibuat namun ahli tetap akan terus patuh dengan arahan kepimpinan, maka kepimpinan mesti membuat keputusan strategi lebih tepat dengan kajian yang lebih halus.
"Harus mendengar pandangan ahli bawahan dan jentera tempatan yang hidup bergelumang dengan rakyat setempat untuk kita mengukur baju di badan sendiri,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Sabtu.
Mengulas mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Pas memenangi kembali DUN Maharani yang pernah dimenangi pada 2008 dan 2013.
"Boleh menang semula juga kerusi Bukit Pasir jika dicampur dengan undi bekas wakil rakyat Pas yang bertanding Bebas.
"13 kerusi lagi Pas tidak kalah cuma belum menang tetapi insya-ALLAH terus menang mendapat reda ALLAH. Kalah itu biasa bagi Pas. Menang itu luar biasa,” katanya.
Jelasnya, Pas bersedia untuk kalah dan menang dalam pilihan raya kerana neraca kemenangan parti itu bukan pada angka undi tetapi kerja-kerja perjuangan yang dilaksanakan.
"Kerja dakwah diteruskan. Ahli dan penyokong perlu ditambah dan cawangan-cawangan Pas perlu terus dibuka bermula sekarang.
"Satu hari kemenangan pilihan raya akan dicipta juga cuma masa sahaja menentukan cepat atau lambat,” katanya.