SHAH ALAM -"Pas akan berusaha lagi,” itu catatan pagi Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Facebooknya pada Ahad selepas gabungan Perikatan Nasional (PN) hanya memenangi tiga daripada 56 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Tuan Ibrahim juga berharap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Maharani, Abdul Aziz Talib dapat melaksanakan mandat rakyat dengan bersungguh-sungguh.
Melalui catatan sama, Tuan Ibrahim turut mengucapkan terima kasih kepada petugas parti yang bekerja keras sepanjang PRN Johor bermula 26 Februari lalu sehingga 12 Mac.
"Semoga segala pengorbanan dan usaha gigih yang dicurahkan mendapat ganjaran di sisi ALLAH.
Terima kasih juga kepada seluruh pengundi Perikatan Nasional. Nilai undi yang diberikan sangat besar,” ujarnya.
Pada Sabtu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Barisan Nasional (BN) menang selesa melebihi majoriti dua pertiga apabila berjaya memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Menerusi keputusan rasmi tersebut, Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi 11 kerusi, diikuti PN tiga, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masing-masing satu kerusi.
Dapatkan keputusan #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my