SHAH ALAM - Tren peratusan keluar mengundi yang rendah dan mendukacitakan boleh menggugat proses demokrasi yang diamalkan dalam politik negara ini, kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar ibrahim.
Bagaimanapun, Anwar berkata, pihaknya tetap akur dengan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang telah dibuat oleh rakyat negeri tersebut.
"Tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kejayaan membentuk kerajaan negeri di Johor. PKR akur dengan keputusan yang dibuat rakyat Johor.
"Kita amat khuatir dengan trend peratusan keluar mengundi yang amat mendukacitakan dan boleh menggugat proses demokrasi,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Ahad.
Pada Sabtu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan BN menang selesa melebihi majoriti dua pertiga apabila berjaya memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Menerusi keputusan rasmi tersebut, Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi 11 kerusi, diikuti PN tiga, PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masing-masing satu kerusi.
Dalam pada itu, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, seramai 1,426,573 atau 54.92 peratus orang telah keluar mengundi pada PRN Johor kali ini.
Anwar yang juga Pengerusi PH turut memberikan penghargaan kepada penyokong dan jentera parti yang telah berhempas pulas menggerakkan kempen sepanjang PRN.
"Keputusan ini juga ternyata suatu peringatan penting buat parti-parti politik untuk kembali merangkul kekuatan bagi mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) kelak,” ujarnya.