Polis tahan pemandu mabuk, sita motosikal

Iklan
Seorang pemandu yang ditahan merana didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi di Jalan Kuching, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR - Seramai 13 lelaki ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol melalui operasi penguatkuasaan yang diadakan selama tiga hari bermula Jumaat di beberapa laluan utama sekitar ibu negara di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi dijalankan di Jalan Raja Laut, Jalan Tun Razak, Jalan Kuching, Lebuh Raya Lingkaran 2 (MRR2) dan Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (Duke)

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak 38 motosikal di sita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana didapati menggunakan ekzos bising dalam operasi yang berakhir pada Ahad.

"Kesemua mereka yang ditahan memandu di bawah pengaruh alkohol berusia antara 29 hingga 62 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Pada Ahad, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman hadir meninjau satu lokasi sekatan jalan raya di Jalan Kuching.

Mengulas lanjut, Sarifudin berkata, keseluruhannya sebanyak 750 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh tersebut.

Iklan

Katanya, seorang lelaki warga India berusia 28 tahun turut ditahan dalam operasi sama kerana menghalang tugas penjawat awam dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah ketika ditahan.

Sementara itu, dalam operasi berbeza, dua warga asing antara 10 lelaki yang ditahan kerana terlibat dalam aktiviti mengutip bayaran parkir secara haram di beberapa lokasi tumpuan di sekitar ibu kota.

"Kesemua mereka berumur dalam lingkungan 21 hingga 49 tahun di bawa ke Balai Polis Trafik, Jalan Bandar dan akan dituduh di bawah Seksyen 50(3) APJ 1987," ujarnya.