BERA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan penunggang motosikal dalam kalangan belia mencatat kes kematian tertinggi akibat kemalangan jalan raya di negara ini.
Menurut beliau, sepanjang tempoh 2019 hingga 2021, secara purata sebanyak 7,077 kes kemalangan membabitkan belia dicatatkan setiap tahun yang mencecah 50 peratus jumlah kematian.
"Ini menunjukkan golongan belia berisiko tinggi dalam kes kemalangan jalan raya khususnya berkaitan penunggang motosikal.
"Sebab itu, saya nasihatkan walaupun belia mendapat kemudahan lesen, namun lebih penting mereka perlu berdisiplin di jalan raya bagi mengurangkan kemalangan khususnya penunggang motosikal," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Kompleks Rakan Muda Bera di sini pada Ahad.
Beliau ditemui selepas majlis perasmian Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) yang menyaksikan seramai 404 Orang Asli di Bera terpilih menerima lesen motosikal kelas B2.
Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Norol Azali Sulaiman dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ), Datuk Zailani Hashim.
Ismail Sabri berkata, dalam tempoh sama juga sebanyak 14,308 kes kematian melibatkan penunggang motosikal dicatatkan iaitu secara purata 4,769 nyawa terkorban setiap tahun.
Ditanya langkah-langkah untuk mengurangkan kadar kematian di jalan raya di negara ini, beliau berkata, pelbagai usaha perlu dilakukan.
"Saya dimaklumkan JPJ berhasrat untuk mengurangkan kadar kematian sebanyak 50 peratus menjelang 2030.
"Salah satunya, disiplin, advokasi dan libat urus dengan penunggang perlu diperbanyakkan untuk memberikan kesedaran, jadi yang penting untuk mendidik mereka mengenai bahaya serta risiko dihadapi," katanya.
Dalam pada itu, katanya, program BLKM akan diperluaskan kepada golongan lain khususnya seperti B40 selepas ini.
Sementara itu, Zailani berkata, antara kriteria yang ditetapkan adalah tidak memiliki rekod kesalahan polis dan JPJ, berumur 18 tahun, boleh membaca dan menulis serta tahu asas menunggang motosikal.
"Calon hanya perlu membayar RM20 untuk mendapatkan L berbanding kos sebenar sebanyak RM200," katanya.