Kemenangan BN di luar jangkaan: Ismail Sabri

Iklan
Ismail Sabri. - Foto Bernama

BERA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai di luar jangkaan.

Menurutnya, ia berikutan kemenangan di 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan dalam PRN tersebut melebihi sasaran ditetapkan oleh parti.

Iklan
Iklan

"Kemenangan semalam (Sabtu) di luar jangkaan dan melebihi sasaran, ramai yang menjangkakan BN boleh menang tapi mungkin majoriti mudah atau maksimum 35 kerusi.

"Oleh itu saya ingin ucapkan setinggi-tingginya terima kasih kepada semua pengundi Johor yang telah mengundi dan memberikan kepercayaan kepada BN.

Iklan

"Terima kasih juga kepada semua kepimpinan UMNO, BN, parti-parti komponen, jentera-jentera serta semua pihak yang bekerja kuat membantu kemenangan ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) di Kompleks Rakan Muda Bera pada Ahad.

Iklan
rakyat sudah boleh membuat perbandingan apa yang telah dilakukan sebelum ini.

"Saya percaya rakyat sudah boleh membuat perbandingan. Dulu mereka tidak boleh membuat perbandingan sebab negara diperintah BN selama 60 tahun, ramai rakyat waktu itu melihat kelemahan BN.

Tetapi selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) rakyat sudah boleh menilai dan ternyata apa yang dijanjikan oleh parti lain tidak dipenuhi walaupun sudah diberikan peluang.

"Rakyat menilai siapa yang lebih baik dan terbukti BN prihatin membantu rakyat.," katanya.

Ketika ditanya adakah kemenangan di PRN Johor dan beberapa PRN sebelum ini sebagai petanda untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) beliau menjawab ia boleh diadakan apabila sudah bersedia.

"Sudah beberapa kali saya cakap dalam perjumpaan bersama UMNO di mana-mana tempat, apabila kita sudah bersedia, jadi PRU boleh diadakan.

Setiap keputusan akan dibincangkan secara serius dalam parti dan tidak boleh diadakan hanya sebab ada sekumpulan kecil nak pilihan raya.

"Ia perkara besar dan banyak perlu dilihat, ada prosedurnya seperti mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk memberi nasihat dan diperkenankan," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menegaskan kemenangan BN di Johor tidak akan menjejaskan hubungan antara kabinet Keluarga Malaysia.

"Waktu PRN Melaka sebelum ini pun kita bertembung tapi tidak bawa soal kabinet di situ. Saya percaya apa yang berlaku di Johor kita tidak bawa dalam kabinet.

"Kabinet adalah profesional sebab soal dasar dan kepentingan negara yang mana setiap keputusan kita buat secara bersama," katanya.

Menurutnya lagi, memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dimeterai Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan Persekutuan yang akan berakhir pada 31 Julai depan perlu menunggu sehingga tempoh tersebut berakhir.


Dapatkan keputusan #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my