KUALA NERANG - Kira-kira 400,000 hektar atau 40 peratus daripada keseluruhan ladang getah yang diusahakan pekebun kecil seluruh negara didapati tidak aktif atau tidak menghasilkan pengeluaran getah secara konsisten.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, keseluruhan ladang getah itu membabitkan seramai kira-kira 150,000 pekebun kecil yang mana jika diusahakan secara cekap dan konsisten mampu menjana pengeluaran hasil getah bernilai RM30 bilion.
"Sekarang ini kita menilai ada dalam 40 peratus yang hasilnya tidak konsisten, kejap ada, kejap tidak ada, kejap aktif, kejap tidak aktif, jadi kita hendak menyelaraskan kawasan-kawasan getah yang tidak konsisten ini untuk memastikan pengeluaran terus konsisten untuk meningkatkan hasil.
"Antara punca ladang-ladang getah ini tidak aktif atau pengeluaran tidak konsisten adalah disebabkan tiada orang menoreh, pekebun kecil yang telah berusia dan tiada orang nak menguruskan ladang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Pusat Pemprosesan Getah Krip dan Projek Transformasi Perusahaan Getah (Target) di sini pada Ahad.