JOHOR BAHRU - Pengundi di kawasan majoriti kaum Cina menunjukkan perubahan agak signifikan dalam sokongannya terhadap MCA pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, empat kerusi yang dimenangi partinya dengan majoriti agak selesa pada PRN Johor kali ini merupakan kawasan yang mempunyai jumlah pengundi kaum Cina agak signifikan.
Menurutnya, perubahan sokongan itu juga didapati berlaku apabila beberapa kawasan yang gagal dimenangi oleh calon partinya turut menunjukkan peningkatan jumlah undi yang ketara berbanding beberapa PRN sebelum ini.
"Trend itu bukan sahaja membabitkan tempat yang secara tradisinya tidak dapat dimenangi oleh partinya sebelum ini, tetapi juga di kawasan bandar yang merupakan kubu kuat DAP.
"Saya yakin pada kali ini kita sudah merapatkan jurang itu. Contohnya, kalau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Senai dahulu, kita kalah teruk tetapi sekarang jurangnya hanya 5,000 majoriti,” katanya ketika sidang akhbar di sebuah hotel di sini pada Ahad.
Empat kerusi yang berjaya diperoleh MCA terdiri daripada DUN Yong Peng yang dimenangi oleh Ling Tian Soon, DUN Paloh (Lee Ting Han), DUN Bekok (Tan Chong) dan DUN Pekan Nanas (Tan Eng Meng).
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, beberapa kawasan ditandingi calon partinya yang turut berjaya mengurangkan majoriti diperoleh calon DAP dengan jumlah agak ketara ialah di kerusi DUN Perling dan DUN Johor Jaya.
Tambah beliau, dua calon partinya iaitu di DUN Tangkak dan DUN Jementah juga masing-masing hanya tewas dengan majoriti yang tipis iaitu 372 dan 714 undi.
Pada masa sama, beliau berkata, pengundi muda juga didapati mula menunjukkan sokongan terhadap partinya pada PRN Johor kali ini.
"Kali ini kita juga merasa bertuah sebab kalau dulu saluran tujuh dan lapan lazimnya kita buat andaian tidak akan dapat undi. Tapi tiba-tiba kali ini kita lihat saluran tujuh ini keputusannya lebih baik daripada saluran satu atau dua,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai calon Exco bagi kerajaan negeri Johor daripada partinya, Ka Siong berkata, rundingan mengenai perkara tersebut hanya akan dilakukan selepas calon Menteri Besar Johor selesai mengangkat sumpah.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pagi Ahad mengumumkan bahawa Barisan Nasional berjaya memenangi sebanyak 40 kerusi yang dipertandingkan pada PRN Johor diikuti Pakatan Harapan (12), Perikatan Nasional (tiga) dan Ikatan Demokratik Malaysia (satu).
Dapatkan keputusan #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my