Teruja sambut Ramadan, jangan lalai penularan Covid-19

Iklan
Ahmad Marzuk

KOTA BHARU - Dalam keterujaan menyambut kedatangan Ramadan pada April ini, umat Islam di seluruh negara diingatkan agar meningkatkan kawalan kebersihan kendiri serta terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, Ramadan pada kali ini berbeza berbanding dua tahun lalu kerana ada ketika umat Islam tidak dapat menunaikan solat sunat tarawih di masjid dan solat fardu dengan penjarakkan saf.

Iklan
Iklan

Katanya, SOP tidak sepatutnya diabaikan dalam kelonggaran diberikan oleh kerajaan pada Ramadan tahun ini yang membenarkan umat Islam menunaikan solat tarawih dengan saf dirapatkan.

"Kita sudah ubah SOP dulu daripada kena penjarakkan saf dan tidak boleh pergi langsung ke masjid kepada boleh sembahyang di masjid tanpa jarak saf, tetapi masyarakat Islam perlu sedar bahawa Covid-19 masih lagi menular dengan rekod jangkitan yang amat tinggi.

Iklan

"Jangan kita lalai apabila sudah diberi kelonggaran SOP, boleh pergi masjid, makan colek dan kedai pun sudah boleh beroperasi 24 jam,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Program Jom ke Sekolah 2022 Peringkat Negeri Kelantan di pekarangan Kilang My-Sutera Sdn Bhd di sini pada Ahad.

Ahmad Marzuk (dua dari kanan) menyarungkan beg sekolah kepada penerima, Nur Delisha Rania Mohd Faizul, 7, (dua dari kiri) sambil diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Zabidi Nasan (kanan).

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Zabidi Nasan.

Iklan

Ahmad Marzuk berkata, semua program seperti keraian dan majlis berbuka puasa sepanjang Ramadan ini perlu mematuhi SOP khusus yang akan diperincikan pada setiap peringkat.

"Kerajaan mengharapkan khususnya umat Islam sudah melengkapkan vaksin, terus patuhi SOP, kawalan kendiri serta kebersihan selain perbanyakkan berdoa agar ALLAH SWT segera memulihkan kita daripada ancaman wabak ini.

"Paling utama, SOP tidak boleh diabaikan kerana ada SOP pun masih ada penularan, apatah lagi jika tidak ada SOP ” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata, Yayasan Taqwa - Majlis MAIWP membelanjakan RM 2.38 juta bagi menyalurkan bantuan persekolahan kepada 14,000 penerima di seluruh negara.

"Bantuan diagihkan kepada golongan B40, anak yatim dan mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Di Kelantan 900 penerima menerima bantuan dengan kos peralatan persekolahan bernilai RM170 setiap seorang termasuk dalam kalangan anak-anak petani dan nelayan di Pengkalan Chepa,” katanya