KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) mendahului undi popular pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam dengan meraih 599,753 undi atau 43.11 peratus.
Ia diikuti Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 334,457 undi atau 24.04 peratus dan Pakatan Harapan (PH) dengan 284,969 (20.48 peratus) undi.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding menggunakan logo sendiri pada kali ini memperoleh 82,556 undi atau 5.93 peratus manakala Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) buat pertama kali ke gelanggang pilihan raya memperoleh 48,072 atau 3.46 peratus undi.
Undi popular merujuk kepada jumlah undi diraih oleh setiap parti atau gabungannya.
Sementara itu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pula memperoleh 18,692 undi atau 1.34 peratus, Bebas dengan 10,007 (0.72 peratus) undi, Warisan (6,523 atau 0.47 peratus) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) meraih 4,880 (0.35 peratus) undi.
Parti Sosialis Malaysia (PSM) pula meraih 997 (0.07 peratus) undi dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dengan 247 atau 0.02 peratus undi.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, peratusan undi popular yang memihak kepada BN adalah hasil pengundi setia dan mahu gabungan itu mengambil alih semula urus tadbir negeri.