MKN dicadang ambil alih tanah LKIM di Bukit Malut untuk penempatan

Iklan
Muhammad Sanusi - Foto Bernama

ALOR SETAR - Majlis Keselamatan Negara (MKN) dicadangkan oleh kerajaan negeri Kedah supaya mengambil alih sebahagian daripada 77 hektar tanah milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Bukit Malut, Langkawi untuk dijadikan lokasi penempatan baharu penduduk yang tinggal di kawasan penempatan haram berhampiran situ.

Sehubungan itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, mesyuarat penyelarasan telah pun diadakan antara MKN, Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) serta pihak yang berhasrat membangunkan penempatan baharu itu.

Iklan
Iklan

"Menerusi cadangan tersebut, daripada jumlah ini, kira-kira 24 hektar tanah LKIM akan dibuat kira-kira 1,200 kediaman baharu untuk dibeli oleh penduduk setinggan di Bukit Malut supaya hidup mereka lebih selesa dan selamat.

"Perkara ini akan diputuskan pihak MKN untuk persetujuan sama ada tanah LKIM itu nak dibuat pengambilan secara berbayar atau diambil begitu saja atas faktor keselamatan kerana 'projek' menyusun atur penempatan golongan ini pun sudah terlalu lama, sejak tahun 1980-an lagi.

Iklan

"Ini projek MKN, jadi mereka yang kena selesaikan. Pihak kerajaan negeri hanya membantu memudahkan dari segi susun atur, kelulusan pelan perancangan pembangunan dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan peserta Misi Pendakian Everest Base Camp (EBC) di pejabatnya di Wisma Darul Aman di sini pada Ahad.

Sebelum ini, media melaporkan kekecewaan penduduk di perkampungan haram Bukit Malut terhadap kerajaan negeri yang didakwa lambat bertindak dalam menyelesaikan isu penempatan di kawasan itu yang semakin padat.

Malah, kebanyakan penduduk di situ yang mendakwa bukan pendatang asing tanpa izin warga Myanmar, sebaliknya mereka rakyat Malaysia yang mahu diberi perhatian memandangkan mereka selama ini dipinggirkan oleh kerajaan.

Iklan

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, kemungkinan MKN juga ada halangan tertentu namun kerajaan negeri bersedia untuk membantu memudah cara urusan berkaitan dalam usaha memberikan kehidupan yang selesa kepada penduduk di Bukit Malut itu.

"Kalau MKN kata 'okey' dan sedia untuk bangunkan kediaman itu melalui apa jua cara kewangan termasuk Inisiatif Kewangan Swasta (PFI), pembayaran berperingkat atau pembayaran kemudian, kami sedia membantu pada bila-bila masa untuk melancarkan urusan tersebut.

"Kami nak selesaikan isu ini secepat mungkin dan kalau tak buat semasa saya, masa akan datang belum tentu akan ada orang usahakan...saya tak ada kepentingan apa, cumanya saya nak kawasan itu teratur dan mereka dapat kediaman sama seperti orang lain di Langkawi," katanya.

Mengenai misi pendakian itu, seramai 10 peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah serta pasukan keselamatan selain individu orang kurang upaya (OKU) kategori bisu terlibat dalam misi pendakian yang dijangka bermula hujung Mac ini. - Bernama