Beri ruang PM, kepimpinan parti bincang waktu terbaik PRU15

Iklan
Reezal Merican

SHAH ALAM - Semua pihak dalam parti UMNO perlu memberikan ruang, mandat dan kepercayaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pucuk pimpinan untuk berbincang waktu terbaik mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, usaha menyusun strategi kemenangan tidak boleh berasaskan seluruhnya kepada emosi sebaliknya perlu dirunding antara kepimpinan parti.

Iklan
Iklan

"Kita di dalam kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) ini ada kaedah dan cara tersendiri serta berpegang kepada disiplin parti. Keputusan untuk perkara sepenting ini, kita tidak boleh bincang di sebarang tempat.

"Kepimpinan parti dan Perdana Menteri perlu duduk bersama untuk membincangkannya.

Iklan

"Ini kerana, kita perlu akui bahawa hanya Perdana Menteri mempunyai kuasa perlembagaan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen dibubarkan. Tidak ada orang lain," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Ahad.

Menurutnya, untuk Perdana Menteri memohon sembah menghadap Yang di-Pertuan Agong perlu dirunding sedalam-dalamnya dengan kepimpinan parti, MKT dan Dewan Tertinggi BN.

Iklan

"Ia juga perlu mengambil kira dua perkara iaitu persediaan parti dan 'delivery' kerajaan pada hari ini. Jentera parti mesti dalam kesiapsiagaan yang maksimum.

"Peratusan keluar mengundi sewaktu Pilihan Raya Negeri Melaka (65.85 peratus) dan PRN Johor (54.92 peratus) wajar dilihat dalam konteks yang lebih strategik.

"Ramai juga ahli akademik yang menyebut istilah 'political fatigue'. Kelelahan politik ini, andai dijolok lagi dengan PRU dalam sengga masa yang tidak selesa, dikhuatiri boleh menatijahkan keputusan yang berbeza. Sebab itu saya kata masa itu penting. 'It must be right'," katanya.

Beliau berkata, pertambahan pengundi hampir tujuh juta orang dalam PRU15 juga mesti diurus dengan baik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Jelasnya, PRU dalam landskap baharu memerlukan persediaan jauh lebih rapi dengan sistem pilihan raya perlu efisien, kemas dan dalam keadaan terbaik.

"Sebab itulah, penentuan tarikh PRU haruslah strategik. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, segala angkubah yang ada wajar dipastikan mantap dan padu.

"Ekonomi diletak pada landasan pemulihan, poket rakyat terisi, kesihatan awam terpelihara, kemampuan dan wibawa kerajaan di tahap yang terbaik.

"Ini semua memerlukan penelitian. Keputusan Perdana Menteri perlu juga disokong seutuhnya oleh segenap kekuatan jentera parti," katanya.