KIEV - Tiga askar Rusia bertelagah dengan seorang lelaki dan wanita warga emas selepas menceroboh hartanah mereka di Ukraine baru-baru ini.
Bagaimanapun, askar berkenaan tidak melepaskan tembakan ke arah kedua-dua penduduk Ukraine itu dan sebaliknya beredar selepas pertelagahan itu.
Menurut media tempatan, kejadian itu berlaku di wilayah Mykolayiv, selatan negara tersebut.
Bagaimanapun, kejadian itu disiarkan di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kiev menerusi satu rakaman video.
Dalam klip video itu, tiga askar Rusia yang bersenjata menghampiri pintu berpagar iaitu jalan masuk ke hartanah milik pasangan tersebut.
Semasa mereka memasuki hartanah tersebut kedengaran bunyi tembakan yang kuat.
Seorang lelaki dan seorang wanita kemudian berjalan dan mula menjerit ke arah mereka.
Lelaki tersebut terus menghampiri askar-askar berkenaan dan menunjukkan penumbuk sambil askar-askar Rusia tersebut mengacukan senjata ke arahnya.
Pertelagahan berlaku dalam beberapa minit sebelum askar-askar Rusia tersebut beredar dari hartanah mereka.
Namun, tindakan warga emas itu kemudian mendapat pujian daripada Kedutaan AS kerana keberanian mereka sehingga menyebabkan askar-askar Rusia tersebut angkat kaki. - Agensi