Muda mampu jadi 'game changer'

Iklan
Syed Sadiq

SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mampu menjadi 'game changer' dan memberikan impak walaupun hanya beberapa bulan mewarnai kancah politik negara.

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, satu kerusi yang dimenangi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuktikan parti itu mampu menjadi relevan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Iklan
Iklan

Namun, beliau berkata, Muda perlu bijak untuk turut mendekati pelbagai golongan dan bukan hanya memberikan fokus kepada golongan muda semata-mata.

"Bagi saya, perancangan Muda bukan untuk PRN Johor. Mereka sebenarnya sekadar menguji sokongan akar umbi iaitu adakah golongan muda sahaja yang menyokong atau sebaliknya.

Iklan

"Saya berpendapat sasaran sebenar yang Muda perlu lakukan adalah mendekati golongan pertengahan, profesional dan bandar yang dirasakan mampu untuk menyebelahi isu yang dibawa oleh parti itu dalam PRU15 akan datang.

"Bagaimanapun di Johor, Muda telah berjaya menang satu kerusi dan ia satu pencapaian kepada Muda. Aliran sokongan kepada Muda juga tidak terlalu sedikit berbanding parti baharu lain yang bertanding,” katanya kepada Sinar Ahad.

Iklan

Menurutnya, selain mendekati golongan yang berbeza, Muda juga memerlukan kerjasama politik dengan parti lain sekiranya mahu memberikan cabaran pada PRU 15.

Sivamurugan berkata, sukar untuk Muda bergerak sendiri pada PRU akan datang dan ia dibuktikan dengan kekangan logistik untuk mendekati golongan sasar pada PRN Johor.

"Susah untuk mereka bergerak sendiri kerana mereka parti baharu dan apabila bertanding dalam PRU, mereka memerlukan logistik dan jentera yang kuat untuk masuk ke seluruh kawasan.

"Sebab itu mereka memerlukan kerjasama politik tetapi perlu bersama parti yang seiring dengan idea dan misi mereka. Jika dapat dilakukan, mereka mampu jadi game changer dan memberikan impak kepada politik negara,” katanya.