Gaji minimum akan diumumkan dalam masa terdekat

Iklan
Saravanan. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengumumkan pelaksanaan gaji minimum baharu RM1,500 dalam masa terdekat memandangkan situasi ekonomi negara dilihat semakin baik.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara telah mencatatkan peningkatan sebanyak 3.6 peratus pada suku keempat tahun 2021.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan unjuran dalam dokumen Belanjawan 2022, prestasi ekonomi dijangka berkembang pada kadar 5.5 hingga 6.5 peratus pada tahun 2022.

"Justeru, kerajaan mencadangkan pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 dalam masa terdekat, bukan pada penghujung tahun 2022 memandangkan situasi ekonomi negara pada masa ini dilihat bertambah baik dan kebanyakan perniagaan berkembang serta menunjukkan trend pemulihan,” katanya di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Iklan

Beliau menjawab soalan daripada M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat); Datuk Seri Idris Jusoh (BN- Besut) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) berkenaan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500.

Dalam pada itu Saravanan memaklumkan, peningkatan kadar gaji minimum RM1,600 sewajarnya dilaksanakan secara berperingkat bagi menjamin kelangsungan operasi syarikat selain memastikan pekerjaan pekerja dapat dikekalkan.

Iklan

"Kerajaan mengambil maklum permintaan beberapa pihak untuk menyegerakan pelaksanaan gaji minimum baharu kepada kadar lebih tinggi berikutan keadaan ekonomi semasa dan kos sara hidup semakin meningkat.

"Namun begitu kadar gaji minimum baharu hanya akan dilaksanakan dengan melihat keperluan sebenar rakyat dan kemampuan majikan.

"Peningkatan kadar gaji minimum terlalu tinggi dan drastik boleh menjejaskan daya saing negara, menyebabkan pasaran buruh berdepan cabaran untuk mencipta pekerjaan baharu yang berkualiti dan berkemahiran tinggi,” katanya.